Malam gala dram pukau penonton

Posted by admin on 2:03 AM


ZAMBRY memukul gendang ketika merasmikan Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 di Dataran MBI, Ipoh malam tadi.


IPOH - Malam Gala Festival Dram Dunia Royal Belum 2012 yang berlangsung malam tadi berjaya memukau lebih 10,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini.

Seperti tiga siri jelajah sebelum ini di Taiping, Lumut dan Kuala Kangsar, penonton teruja dengan kehebatan kumpulan dram yang mengambil bahagian.

Penonton yang memenuhi segenap pelosok dataran berkenaan kelihatan tidak berganjak ketika persembahan dimulakan kira-kira pukul 9 malam.

Satu demi satu grup daripada 14 pasukan membabitkan 171 peserta yang mengambil bahagian pada festival dram itu mempamerkan aksi bertenaga.

Keceriaan juga jelas terpancar pada wajah peserta terutamanya semasa penonton bersorak dan bertepuk tangan mengiringi persembahan mereka.

Dengan gaya bersahaja, pasukan antarabangsa seperti Bonita dari Vietnam, Kelab Malwa Sabhyacharak (India), Natig Rhythm (Azerbaijan), Absolute Thai (Thailand) dan Saratuspersen (Indonesia) berjaya menambat hati penonton.