Kahwin bukan mudah - Iqram

Posted by admin on 6:39 PM


KINI bergelar duta Ayamazz RotiImpit.


INGAT senang ke nak kahwin," itu jawapan spontan Iqram Dinzly, 31, sewaktu ditanya mengenai isu berkaitan dengan menamatkan zaman bujangnya.

Rasanya sudah ramai mengetahui hubungan baik yang terjalin diantara Iqram dengan pelakon wanita cantik, Fouziah Gous. Pun sampai kini, Iqram tidak mahu memberi apa-apa komen mengenai hubungan baiknya dengan Fouziah kerana takut disalah anggap sesetengah pihak.

Bagi kami di Hits juga, sebenarnya sudah agak jemu untuk mencari kepastian cinta mereka. Simpanlah, selagi masih boleh disimpan.

Jadi, lebih baik kami memberi tumpuan kepada cerita yang kononnya Ikram akan meninggalkan dunia seni buat selama-lamanya tidak lama lagi.

Khabar itu tercetus apabila sebelum ini Ikram membuat kenyataan kepada media bahawa tidak akan bersara daripada dunia lakonan.

Ditanya akan hal itu, Iqram tidak menafikan pernah berniat untuk meninggalkan dunia seni.

"Memang benar saya ada menyuarakan keinginan untuk bersara dari dunia lakonan. Bagaimanapun tak jadi dan saya fikir ada hikmahnya untuk terus di sini," katanya.

Menurut Iqram ini merupakan kali kedua dia terfikir untuk meninggalkan dunia lakonan. Pertamanya adalah sewaktu pulang dari mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah pada tahun 2006.

"Dan kali keduanya pula apabila saya berada di Turki baru-baru ini.

"Namun mengenang kembali pesanan arwah kakak saya tentang perjuangan yang saya harus teruskan demi keluarga tercinta, saya yakin dunia lakonan akan terus menjadi periuk nasi dan sumber rezeki kami," jelasnya.

Ditanya antara perubahan yang berlaku ke atas dirinya kini, menurut Iqram peningkatan umur banyak memberi laluan buat dirinya kini untuk berfikir dengan cara lebih dewasa.

Malah secara terang Iqram mengakui dia kini sedang berusaha mendekatkan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan keagamaan.

"Saya kini banyak membaca buku-buku keagamaan di dalam memantapkan jiwa.

"Semoga dengan segala usaha ini dapat mendekatkan diri saya ke arah kebaikkan," katanya yang kini sedang popular menerusi drama bersiri Vanilla Coklat lakonannya dengan pendatang baru Izara Aishah.

Sementara itu Iqram kini menjadi duta produk baru Ayamazz RotiImpit di bawah syarikat Ayamazz Sdn. Bhd.

Menurut Iqram perlantikkannya sebagai duta Ayamazz RotiImpit sedikit sebanyak membuka peluang buat dirinya untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan kelak.

"Saya sebenarnya ada terfikir untuk membuka sebuah perniagaan yang akan diusahakan bersama rakan-rakan.

"Dan bila dilantik menjadi duta kepada produk ini saya dapat rasakan ia bakal membuka jalan yang lebih mudah untuk saya bergelar usahawan pada masa depan," katanya.