941 mangsa diselamatkan

Posted by admin on 2:02 AM




KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri berjaya menyelamatkan 941 orang termasuk kanak- kanak daripada terus menjadi mangsa jenayah pemerdagangan orang bagi tempoh 2008 hingga 31 Januari lepas.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Mahmood Adam berkata, daripada jumlah itu, wanita adalah mangsa tertinggi iaitu membabitkan 562 orang, lelaki (261) dan kanak-kanak (118).

"Kesemua mangsa telah diselamatkan dan mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) serta ditempatkan di rumah-rumah perlindungan," katanya kepada Bernama dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mahmood yang juga Pengerusi Majlis AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (MAPO) berkata, bagi tempoh 2008 hingga 31 Januari lepas, sebanyak 426 kes disiasat melibatkan 599 tangkapan.

Bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 392 kes telah dituduh di bawah Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007, 235 kes masih dalam perbicaraan, 66 kes berjaya diselesaikan dan sabitan sebanyak 57 kes.

"Statistik kes penyeludupan migran dari 15 November 2010 hingga 31 Januari tahun ini adalah sebanyak 27 kes melibatkan 43 tangkapan dan seramai 616 orang migran yang diseludup," katanya.