Temberang selebriti Malaysia

Posted by admin on 7:48 PM


MARSHA dan Reza mengaku punya hubungan kimia yang baik.


SEKEPALA dan sama-sama becok, pasangan ini digabungkan dalam sebuah program baharu keluaran Astro yang dinamakan Propaganza.

Marsha Milan Londah dan Reza Mohamed banyak bergurau dan mengusik antara satu sama lain dalam satu sesi fotografi yang diadakan baru-baru ini. Atas keterbukaan itu jugalah mereka dipilih sebagai pengacara 26 episod program Propaganza yang akan bermula 18 Mac ini.

Propaganza akan bersiaran setiap Ahad pada pukul 12 tengah hari di saluran Astro Ria (104).

Program sejam itu akan mengupas isu-isu semasa dalam industri hiburan tanah air.

Mereka mengaku diselubungi gemuruh dengan gandingan kali pertama itu apatah lagi program itu akan disiarkan secara langsung.

"Propaganza menyediakan lima segmen iaitu Buzz, Apa Cer, Malatopz, Klik Kantoi dan Murai," ujar Reza tentang program terbitan KRU Studio ini.

Bagaimana dengan keserasian kalian sebagai pengacara program ini?

REZA (R): Memang tidak ada masalah sebab masing-masing sudah ada perangai gila-gila. Lagipun kami sudah lama saling-mengenali dan sudah masak dengan perangai masing-masing. Saya rasa tidak ada masalah. Mulut saya memang lancang dan lantang dan Marsha sudah faham. Kalau ada salah dan silap, kami akan saling memberi teguran membina.

MARSHA (M): Saya sudah kenal Reza sejak sama-sama menyertai program Akademi Fantasia musim ketiga. Kami sudah macam adik-beradik.

Apa perasaan Marsha mengacara program siaran langsung?

M: Saya sangat gemuruh tetapi sangat bersyukur kerana diregukan dengan Reza. Dia sudah lama dalam bidang pengacaraan dan saya harap dia sudi bimbing saya dalam mengendalikan tugas ini. Saya berada dalam tangan yang betul. Saya hanya takut tersasul. Tapi saya akan cuba buat yang terbaik.

R: Saya juga gemuruh. Tapi tahap gementar Marsha tentulah lebih daripada saya. Kalau kami bersikap overacting, ini akan merosakkan karier kami. Tapi kami tidaklah sempurna dan tidak juga ada terlampau yakin. Kami banyak berbincang dan melakukan latihan. Tetapi selalunya apa yang dibuat masa latihan akan berlainan pada masa siaran.

Apa pula cabaran untuk mengendalikan program ini?

M: Saya perlu belajar dengan lebih mendalam lagi slanga Kuala Lumpur sebab saya masih lagi bercakap ada stail Sabah. Semestinya saya perlu bercakap stail Kuala Lumpur untuk program ini. Saya perlu betulkan cara saya berkomunikasi.

R: Dialek Sabah Marsha memang pekat.

Untuk tugasan kali ini, apa bahan rujukan kalian?

R: Saya rujuk laman web murai.com dan kami juga ada wartawan kami sendiri yang mendapatkan maklumat.

M: Saya banyak tengok program seperti E!. Dapakan sikit bagaimana stail Gulliana Rancid menjalankan tugasan sebagai pengacara. Itu cuma untuk mendapat idea dan gambaran besar tentang pengacara. Selebihnya, Reza banyak memberi tunjuk ajar.

Apa kelainan program Propaganza berbanding program hiburan atau infotainmen yang lain?

M: Kelainan yang ketara adalah daripada segi gandingan hos. Itu umum sudah nampak lain.

R: Program Propaganza ini menjurus kepada cerita-cerita eksklusif, bahan-bahan scoop. Jika ada sesuatu berita atau isu panas keluar mengenai selebriti, kita akan minta penjelasan mereka dan tidak akan mengaibkan artis tersebut. Contohnya, jika ada artis yang bergaduh di laman sosial Twitter, kita akan minta keterangan dan cerita sebenar mereka. Kelainan yang lain adalah daripada segi hos seperti yang Marsha katakan.

Bagaimana anda melaporkan isu panas membabitkan kalangan selebriti yang merupakan rakan-rakan kalian?

M: Saya memang ada kerisauan itu sebab artis adalah rakan-rakan kami juga. Takut kawan-kawan salah anggap.

R: Kami menjadi orang tengah bagi mereka untuk membetulkan keadaan.


GANDINGAN ini akan muncul di kaca TV pada 18 Mac.


Apa sumbangan program sebegini untuk industri tempatan sebenarnya?

R: Istimewanya Propaganza adalah untuk penonton luar bandar yang tidak aktif atau tidak ada akses Internet. Jadi program ini memberikan berita yang pantas untuk mereka mengetahui apa yang terjadi dalam dunia selebriti. Jika dilihat lagi, program ini merupakan platform untuk artis memperjelaskan masalah mereka sebab kita tidak akan edit percakapan mereka.

M: Buat saya program ini real. Kita membantu para selebriti dengan isu mereka. Malah tidak hanya tentang isu selebriti sahaja, kita juga ada menyentuh gaya hidup artis.

Pada pandangan kalian, adakah jawapan selebriti kita jujur atau sekadar temberang?

R: Ada juga yang beri jawapan selamat sebab siapalah yang mahu buka pekung di dada. Adakala mereka perlu mempertahankan diri sendiri. Saya harapkan agar artis kita cuba jangan beri jawapan yang mengaibkan diri sendiri. Jangan bangga dengan kenakalan atau perkara jahat yang mereka lakukan.

M: Berdasarkan perhatian saya, ada juga selebriti yang beri jawapan yang propa ataupun jawapan selamat. Mungkin tidak sengaja. Saya rasa artis kena dan perlu pandai jaga diri, begitu juga jawapan dan penampilan diri mereka.