Nidji dikuarantin seminggu

Posted by admin on 7:47 PM



BUAH mula sebuah grup dengan enam jiwa dan enam kepala ini hampir sama seperti anak muda yang lain. Penuh semangat yang dibalut dengan pelbagai pancaroba untuk menempuh jalur langkah sebagai anak seni.

Bermula dengan bertatih, kemudian karya Nidji seakan berlari diangkat khalayak yang merasakan muzik mereka dekat dengan jiwa dan dapat memberikan inspirasi sejagat. Buktinya lagu-lagu seperti Laskar Pelangi, Hapus Aku, Disco Lazy Time dan Sang Mantan menjadi pemanis di bibir pendengar mereka.

Bak kata sang vokalis, Giring yang sentiasa bertenaga, mereka sudah diangkat sebagai bintang, pernah juga berasakan fasa sukar dalam perjalanan, sukses datang dengan pelbagai macam bentuk dan cubaan. Seiring dengan nama grup mereka yang bermaksud pelangi.

Berikan Liberty

Sudah agak lama tidak melihat gaya dan persembahan mereka di Malaysia, Nidji yang kali terakhir ke Kuala Lumpur pada 2010 akan menjejak lagi negara tetangganya ini untuk tujuan promosi album terbaharu dan melantunkan lagu-lagu mereka di pentas meriah Big Jam Hot FM. Masa untuk mereka berkongsi lagu-lagu terbaharu dan momen lagu-lagu popular mereka di sini dalam acara Hot FM yang bakal dilangsungkan di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu pada 10 Mac ini.

Sebagai maklumat terbaharu, Nidji baru menelurkan dua buah album. Album Liberty merupakan album studio keempat Nidji yang dilancarkan pada November lalu manakala album Victory menyasarkan pasaran antarabangsa.

"Album Breakthru' adalah semangat kami, Top Up adalah pembuktian kami, Let's Play adalah cubaan kami dan Liberty dan Victory adalah tujuan kami," kata sang vokalis.

Bukan sahaja melalui proses kreatif yang berlainan untuk melahirkan album namun Giring, Rama, Andro, Randy, Adri dan Ariel mengambil peluang untuk merapatkan lagi silaturahim mereka dalam Nidji.

"Proses rakaman album berlangsung selama kurang lebih sembilan bulan bermula dengan pembuatan dan penyusunan lagu hinggalah ke proses merakam dan mixing. Nidji selalu mencuba sesuatu yang berbeza dalam setiap pembuatan albumnya agar terdengar lebih segar.

"Dalam album ini, Nidji memutuskan untuk membuat lagu melalui proses kuarantin. Lalu kami menyewa sebuah villa di kawasan Cisarua Puncak, Bandung selama seminggu. Hanya ada Nidji, produser album (Gio dan Nabil), pihak pengurusan serta kru. Tujuannya agar kita lebih fokus, jauh daripada keramaian, tidak ada gangguan dan dapat menghasilkan vibe yang berbeza," kata Rama.

Nidji membina satu ruangan seperti studio mini dan berlatih serta mencari idea tanpa mengira waktu atau menganggu sesiapa. Ujar Nidji lagi, selama di sana, mereka bukan sahaja membuat lagu tetapi juga sama-sama bersukan dan main alat permainan. Suasana yang akhirnya membolehkan mereka mendapat 17 buah lagu serta mengakrabkan hubungan persahabatan mereka.

Melebarkan sayap

Lebih membanggakan grup yang ditubuhkan pada 2002 ini, album keempat ini juga bukti pelebaran sayap mereka ke peringkat antarabangsa.

"Alhamdulillah, album keempat ini Nidji berkesempatan merakam album mini antarabangsa Nidji yang berjudul Victory. Daripada hasil 17 buah lagu demo yang dihasilkan di Cisarua, sepuluh lagu Indonesia terpilih untuk dimasukkan ke album Liberty dan lima buah lagu berbahasa Inggeris untuk album Victory.

"Pada September tahun lalu, proses mixing serta mastering Victory dibuat selama 11 hari. Dalam album ini kami bekerjasama dengan produser Sex Pistol bernama Steve James. Banyak ilmu baharu seperti teknik rakaman yang lebih teliti dan betul, cara penyusunan sesebuah lagu, mixing bahkan membuat lirik berbahasa Inggeris yang lebih baik kami dapat," Rama menambah tentang album Victory yang akan dilancarkan ke seluruh dunia secara digital melalui iTunes tahun ini.

Buat Nidji, rakaman album di Australia adalah salah satu cara mereka menuju impian yang dinamakan 'Go International' di luar Asia. Kebetulan juga kesempatan itu disokong oleh label Nidji iaitu Musica Studios yang mempunyai pejabat di Australia iaitu Valleyarm Record.

"Buat Nidji, 'Go International' itu salah satu impian kita sejak dahulu dan Alhamdulillah, perlahan-lahan mulai wujud. Dimulai dengan 'Go Asia', kemudian 'Go Australia' dan 'Go Europe'. Kita ingin membawa nama harum Indonesia serta Asia Tenggara ke seluruh dunia, juga menyedarkan bahawa ada sebuah grup bernama Nidji," sepakat mereka bersuara.

Menjangkau satu dekad


SEIRING muzik dan fesyen, Nidji sentiasa tampil dalam dua elemen ini buat para pecinta mereka.


Menyentuh perihal tema lirik yang mereka bawakan dalam album kali ini, ujar Nidji tema dalam album Liberty berbeza daripada album sebelumnya. Lebih menyentuh tema kehidupan sehari-hari anak muda, grup ini mengambil inspirasi lirik daripada status dan komen Twitter Nidjiholic (nama penggemar Nidji) yang banyak berkongsi kisah hidup masing-masing.

"Album dahulu lebih banyak lirik dengan perumpamaan dan sedikit puitis. Kali ini lebih terang dan jelas," jelas Rama.

Begitu dekat Nidji dengan Nidjiholic sehingga buah kata mereka menjadi bait-bait lirik lengkap dalam album terbaharu mereka. Inilah juga nyawa yang membenarkan kehidupan mereka menjangkau usia 10 tahun. Satu dekad yang penuh dengan warna-warni kehidupan. Meraikan usia seteguh ini, grup ini bakal mempersembahkan sebuah konsert khas buat pecinta karya mereka.

"Tepat Februari 2012, Nidji berusia sepuluh tahun. Jadi dalam rangka sepuluh tahun, Nidji kita membuat konsert ulang tahun Nidji yang berjudul 1 Dekade Nidji yang akan dilaksanakan pada Rabu ini di Jakarta dan akan dibuat dalam bentuk DVD," keterujaan Nidji disuarakan.

Ujar Giring seakan janji: "Langkah ini, langkah kesepuluh tahun ini. Ingat, kami tidak akan ke mana-mana. Kami akan selalu ada di hati kalian."