Relaks cara Rashid

Posted by admin on 2:08 AM




ADAKALA karyanya dipuji melambung namun dalam masa yang sama, tetap ada yang pantas melihat sentuhan pengarah kelahiran Batu Pahat, Johor itu jatuh ke paras klise. Air mata, kematian dan keinsafan berakar membentuk asas pada setiap rimbun cerita karyanya. Atas faktor itu juga dia diberi jolokan �pengarah air mata�.

Itulah Rashid Sibir, 45, sutradara prolifik yang sudah melahirkan ratusan karya untuk disaksikan umum. Sejak 1993 hingga kini, cerita cinta Rashid juga sudah terlalu intim dengan penonton di Malaysia.

Sebut sahaja Pondok Buruk, Kutub Utara Kutub Selatan, Dalam Hati Ada Cinta, Pengantin Popular, Ketupat Daun Kering, Sekeras Kerikil, Quran Buruk, Bisikan Dajal dan Janji Syurga, sekadar menyebutkan beberapa judul, itu semua karya Rashid. Dia sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Hari ini, Rashid perlahan-lahan diaruh waktu. Ketika zaman kemuncak, dia tidak menang tangan menyempurnakan permintaan stesen televisyen. Hari ini, pengarahan Rashid tidak serancak dahulu.

�Sekarang sudah ramai pengarah baru yang bagus-bagus, saya pula kalau dalam sebulan dapat selesaikan satu telemovie pun sudah cukup. Dulu saya tak menang tangan, tapi sekarang lebih relaks, lebih selektif,� kata Rashid mengisi ruang santai bersama Sensasi Bintang dengan bicara yang terarah kepada industri.

GENRE PILIHAN

Kata Rashid: �Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.� Lebih 20 tahun dalam industri, jika diberi pilihan Rashid memilih untuk berkarya dalam genre drama yang berat pengisiannya. Baginya, cerita yang berat pengisian juga boleh mengungguli rating siaran.

�Kerja orang filem merakam sejarah. Setidak-tidaknya, biar satu atau dua drama yang kita buat itu memberikan manfaat. Kalau daripada 10 karya, biarlah ada tiga atau empat yang �berat� pengisiannya, bagi suntikan agar emosinya lebih ekstra, selebihnya permintaan pihak televisyen yang mahukan cerita santai, komedi serta cinta pun kena layan juga,� ujar Rashid yang dalam proses menghasilkan Syurga Cinta Melissa, Bahan Neraka dan Dua Kalimah Syahadah yang disifatkan istimewa inti karyanya.

TANDA DAGANG

Bertindak sebagai Pengarah

Urusan rumah produksi Opera Klasik yang mula beroperasi pada 1995 dan Rashbir Media (2005), Rashid menamakan beberapa drama yang dianggap sebagai tanda aras kepada hasilnya kerjanya. �Saya namakan Pengantin Popular sebagai tanda aras untuk drama komedi, Dalam Hati Ada Cinta untuk drama cinta dan Pondok Buruk untuk drama berat. Kepada saya itu semua masterpiece.�

BUKU/BACAAN

Tidak gemar novel berbahasa Melayu, Rashid sebaliknya lebih banyak membaca novel berbahasa Inggeris. Alasan Rashid: �Novel bahasa Melayu banyak yang klise, macam drama Melayu juga, tapi novel terakhir yang saya baru baca ialah Ombak Rindu. Saya baca sebab ramai yang bandingkan antara novel dan filem. Bagi saya, filem Ombak Rindu juga sebuah filem yang baik.�

LELAKI BERKELUARGA

Berumah tangga pada umur 40 tahun, Rashid kini bahagia di samping Nurulhuda Aziz, 31. Hasil perkongsian hidup bersama bekas penyelidik perubatan itu, Rashid dikurniakan tiga permata hati, Ainul Mardiah, 4; Aliff Firdaus, 3; dan Iskandar Zulkarnaen, 8 bulan. �Hidup saya sekarang lebih banyak dengan keluarga, kalau penggambaran pun, saya akan pastikan ada hari cuti untuk lepak dengan keluarga. Sampai sekarang juga, saya masih tidur sebilik dengan anak-anak,� katanya yang mahu serapat mungkin dengan anak-anak ketika mereka masih kecil.

HOBI

Ketika zaman bujang, 24 jam sehari dan 365 hari setahun dihabiskan untuk bekerja atau bersantai bersama teman. �Saya suka aktiviti ekspedisi macam pergi memancing ke tasik Kenyir atau ke pulau-pulau. Tapi itu zaman bujang dan tidak ada anak. Masa mula-mula ada anak dulu, ada kawan saya telefon, dia tanya sama ada saya masih hidup atau mati sebab hilang terus dan lupakan kawan-kawan. Kelakar, sebab dulu saya tukang aturkan aktiviti,� cerita Rashid yang beralih ke lokasi percutian yang selamat untuk anak-anak setiap kali ada kelapangan.

TANAH KUBUR

Bukan baru mencuba-cuba untuk menghasilkan drama yang sifatnya sarat elemen keagamaan, rencah budaya serta keislaman khususnya sebagai jalan hidup yang banyak dipotretkan dalam drama seperti, Ustaz Sufi, Quran Buruk, dan Liang Lahad. Terkini, drama Tanah Kubur menjadi kebanggaan Rashid apabila siri yang ke udara di saluran Oasis itu sudah memasuki musim ketiga kelmarin. Dengan rating sebanyak 4.5 juta penonton, ia menjadi rancangan paling banyak ditonton di saluran Oasis.

�Rating Tanah Kubur satu kejutan apabila disenaraikan antara program paling popular di saluran Astro. Saya banyak merujuk kisah benar, buku-buka agama serta hadis nabi. Setakat ini tiada balasan keterlaluan. Sebagai pembikin saya elak daripada memberikan gambaran tentang balasan Tuhan di akhirat atau dalam alam barzakh, itu kerja Tuhan,� katanya yang serasi bekerja dengan Nasir Bilal Khan selaku peneraju watak utama siri berkenaan.

INDUSTRI KREATIF

Menjadi penyumbang karya filem dan drama tanah air sejak 1993 menerusi drama Persinggahan Abadi, pengarah yang bakal terbit dengan filem terbaharu, Awan Dania The Movie itu merasakan pendirian penerbit drama harus diubah demi masa depan penerbitan drama tanah air.

�Ini isu lama, bayaran stesen televisyen terhadap karya drama atau drama bersiri tempatan masih ditakuk lama, masih tidak berubah sejak 1999. Zaman berubah tetapi harga tetap sama,� kata Rashid.

WAJAH WAJIB

Nama-nama seperti Rita Rudaini, Nasha Aziz, Rosyam Nor, Ellie Suriaty, Norlia Ghani, Fauziah Nawi, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Allahyarham M. Rajoli dan Allahyarham Ismail Din merupakan anak seni yang cukup sinonim dengan Rashid. Jika Rashid digelar �pengarah air mata�, bintang handalan itu menjadi pengalir kepada tenaga yang dibina oleh Rashid atas alasan kepuasan dan lakonan total yang dipersembahkan.

�Dulu karakter serta watak ditulis untuk dijayakan oleh pelakon yang saya mahukan. Misalnya, kalau tak dapat Nasha, saya akan pening kepala. Sekarang saya susah nak agak kemampuan pelakon-pelakon yang baru yang sedang naik. Jadi, kalau tak dapat dijayakan oleh pelakon A, ia boleh digantikan oleh pelakon B, tiada tuntutan macam dulu,� getusnya sambil tidak putus-putus menyebut nama M. Rajoli, pelakon yang bukan sahaja menjiwai watak malah diakui kredibiliti dalam drama keagamaan.

PELAKON MALAYSIA

Dulu pelakon betul-betul ikhlas mahu berlakon, sekarang ada yang lebih utamakan glamor. Itu hakikat yang dilihat dari kanta Rashid.

�Ada segelintir yang tak pedulikan glamor, ada juga yang perasan senior tapi sebenarnya tidaklah senior mana, buat permintaan merepek-repek sebab tahu stesen televisyen mahukan wajah mereka, impaknya akan kena kepada pelakon yang sudah melepasi eranya seperti yang disuarakan oleh Amyza Aznan, saya setuju. Sebab itu sebagai pengkarya, kita kena tahu seimbangkan pelakon. Beruntungnya saya bernasib baik kerana saya masih boleh berkompromi soal pelakon kerana saya sendiri yang menulis karya saya,� kata Rashid.