Yana panas makan jamu

Posted by admin on 2:08 AM


YANA SAMSUDDIN yang mengamalkan pengambilan jamu perapat selama lima tahun terpaksa menghentikan amalan tradisional tersebut setelah diserang ulser.


YANA SAMSUDDIN kembali sebagai Wawa menerusi filem Adnan Sempit 2, bezanya Wawa kini tampil lebih matang dan berwawasan.

Berubah daripada seorang gadis rempit biasa dalam Adnan Sempit yang mengutip RM7.66 juta pada 2010, Wawa meneroka tahap karakter yang lebih beremosi.

"Wawa kini sudah berubah. Dia tidak lagi menjadi minah rempit seperti dahulu. Kali ini dia berusaha mahu berubah menjadi gadis yang bertanggungjawab.

"Biarpun Wawa sudah berubah menjadi lebih baik, tetapi saya tetap berdebar-debar menanti respons penonton.

"Saya risau jika ada yang membandingkan antara Adnan Sempit dan Adnan Sempit 2," kata Yana kepada Sensasi Bintang.

Ditayangkan di pawagam bermula Khamis lalu, filem terbaharu MIG itu turut menampilkan karakter asal dalam versi terdahulu termasuklah Shaheizy Sam sebagai Adnan, Intan Ladyana (Nadia) dan Along Cham (Bobby).

Secara peribadinya, Adnan Sempit 2 menjadi permulaan panggung buat Yana pada tahun ini.

"Saya tidak boleh berlakon dan mengarah serentak kerana tidak boleh fokus. Rezeki saya lebih menyerlah dalam lakonan, jadi saya terpaksa memilih salah satu," ujar Yana yang pernah tersenarai dalam skim pengarah muda kelolaan David Teo.

WAWA

Watak Wawa ialah karakter yang paling dekat dengan saya, daripada situ, saya mula dikenali dan mendapat perhatian pengarah. Selain panggilan Kak Yong yang popular menerusi filem Bini-biniku Gangster, ramai peminat lebih mengenali saya sebagai Wawa berbanding Yana Samsudin. Saya kini menjalani penggambaran filem Wawa Semput sebagai pengembangan daripada watak Wawa dalam filem Adnan Sempit. Wawa juga meletakkan saya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-23.

MENGUNDI

Saya sudah tidak sabar untuk mengundi kerana ia adalah pilihan raya pertama saya. Insya-Allah mengikut daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saya akan mengundi di kampung halaman di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.

JAMU

Saya menjual jamu menerusi skim jualan langsung (MLM) tapi itu hanya dalam filem Adnan Sempit 2. Menariknya, jamu yang dijual ialah jamu perapat khas untuk wanita sahaja. Saya sendiri pernah mengamalkan jamu untuk menjaga kesihatan ketika berusia 19 tahun selama lima tahun. Tetapi setelah sampai usia 24 tahun saya mula berasa panas-panas dan timbul ulser kerana mengamalkannya. Sejak itu saya mula berhenti memakan jamu. Saya lebih selesa mengambil suplemen dan multi vitamin untuk menjaga kesihatan.

SUPERHERO

Saya gemarkan filem aksi dan lasak seperti dalam filem Bini-biniku Gangster yang memerlukan saya bertarung dan menguji ketangkasan fizikal. Jika ditanya mengenai watak impian, sudah tentulah saya ingin menjadi seorang superhero yang mempunyai kostum sendiri seperti Catwoman dan Superwoman.

JADI POPULAR

Tahun ini tahun pertama saya diberi kepercayaan untuk mengisi tempat sebagai calon top 5 Anugerah Bintang Popular. Saya tidak meletakkan keyakinan untuk berjaya, tersenarai pun sudah cukup bagus sebagai pembakar semangat saya.