RTM Terbitkan Semula Drama 'Opah'

Posted by admin on 7:58 PM

Barisan pelakon drama bersiri 'Opah'.

SHAH ALAM: Drama bersiri Opah yang pernah menjadi fenomena pada tahun 1980-an bakal muncul dengan musim terbaharu yang akan mengangkat pelbagai isu kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Pengarah drama itu, Zamani Ibrahim berkata, walaupun masih mengekalkan plot asal daripada musim terdahulu, pihaknya ingin menggunakan siri itu sebagai medium dengan menyuntik pelbagai pengajaran berguna kepada masyarakat," ujarnya kepada mStar Online.

Zamani ditemui ketika majlis pelancaran drama musim terbaru Opah di sini pada Selasa.

Tambahnya, permasalahan yang ditonjolkan dalam sub-plotnya drama itu sebagai satu kaedah untuk menerangkan peranan individu dan masyarakat tentang kesan sejauh mana bahaya sesuatu perkara dan penyelesaiannya.

Opah bakal dibarisi oleh pelakon hebat seperti Fadilah Mansor (Jenab/Opah), Shaharuddin Thamby (Osman), Hairie Othman (Alang Yasin), Aida Khalida (Timah) dan Zizan Nin (Azman).

Dalam pada itu, Zamani berkata siri terbaru ini akan memaparkan kisah hidup keluarga opah sebelum ini lakonan Allahyarham Zaiton Hussien menerusi generasi kedua.

Zamani Ibrahim

Ujarnya, watak Fadilah sebagai anak pertama opah iaitu Jenab akan menerajui plot penceritaan ini dengan pelbagai kisah menarik.

"Adalah tidak relevan untuk menggunakan Fadilah sebagai watak asal opah kerana peranan itu telah meninggalkan kesan mendalam di hati penonton sebelum ini.

"Sebab itu kita mengambil keputusan untuk meneruskan kesinambungan cerita ini dengan kehidupan anak-anak dan cucu opah selepas kematiannya," ujarnya.

Sementara itu, Zamani berkata, cabaran utama untuk menghasilkan drama ini datang daripada jenama Opah itu sendiri kerana siri itu cukup dikenali oleh penonton.

Katanya dia perlu bijak menyusun jalan cerita supaya penonton dapat mengikuti apa yang cuba disampaikan.

"Siri ini terlalu dekat dengan penonton sehingga ia menjadi satu cabaran buat kami di pihak produksi dalam memastikan ia benar-benar mempunyai kesinambungan dengan siri terawal supaya penonton tidak keliru.

"Atas dasar itu juga untuk musim terbaru ini kita mewujudkan beberapa jalur cerita secara berterusan dari awal hingga akhir musim bagi membawa perkembangan setiap watak dalam Opah," katanya.

Bakal menjalani penggambaran pada pertengahan Mac di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak, Opah musim terbaru akan menemui penonton pada September depan di TV1.