Luqman Hakim mahu jadi panglima

Posted by admin on 5:24 PM


Luqman Hakim ketika menerima pentauliahan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah baru-baru ini.


TERUJA melihat ketangkasan tentera mempertahankan kedaulatan negara telah membuka minat Luqman Hakim Sahar untuk mengorak langkah memasuki bidang ketenteraan.

Tanpa menoleh, pemuda kelahiran Kuala Lumpur itu tekad membulatkan hatinya mengejar impian untuk bergelar seorang tentera tanpa sedikit tercuit ketakutan seandainya terpaksa berjuang di medan perang.

Biarpun perjalanannya dalam angkatan tentera masih terlalu hijau, Luqman Hakim menanam cita-cita untuk bergelar Panglima Angkatan Tentera iaitu pangkat tertinggi ketenteraan suatu hari nanti.

Lantas segala kesusahan dan keperitan ditempuhi dengan tabah sepanjang lima tahun bergelar mahasiswa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan menganggap itu semua adalah ujian yang perlu ditempuhi untuk menggapai impian yang tertanam di sanubarinya.