Jet Lee punya 'magis' sebagai pengarah

Posted by admin on 7:22 PM

Jet Lee
Siapa sangka, jika dahulu dia hanya dikenali sebagai krew produksi, namun kini berkat kesabaran dan semangat yang ada, M Nazir Juhan, berjaya berada di kerusi pengarah.
Tidak mendabik dada dengan ilmu yang ditimba sejak 1989, Nazir yang lebih mesra disapa Jet Lee, mengakui masih banyak ruang kelemahan yang perlu diperbaiki.
Diberi peluang untuk mengarahkan drama bersiri hebat, Nora Elena, ternyata karya Jet Lee wajar mendapat pujian berdasarkan jalan cerita yang menarik.
Menurutnya, walaupun masih baru dalam bidang pengarahan, dia tidak mensia-siakan peluang yang ada. Pengalaman sebagai krew, dipraktikkan sebaik mungkin untuk hasilkan drama yang baik.
�Saya belajar daripada pengalaman sewaktu bekerja sebagai krew dan jurukamera. Dari situlah, saya belajar mengenai selok-belok pengarahan.
�Sebelum saya mulakan penggambaran, saya akan baca skrip drama yang diterima terlebih dahulu untuk mengetahui jalan ceritanya. Kemudian, jalan cerita itu akan diolah mengikut kesesuaian.
�Sejujurnya, saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk jadi pengarah, tetapi persaingan daripada generasi muda menyebabkan saya ingin mencuba. Lagipun, saya mahu bagi ruang kepada golongan muda untuk belajar untuk menjadi krew yang berjaya,� katanya yang mula diberi kepercaya�an mengarah menerusi drama bersiri 40 episod, Mas Kahwin pada 2006.
Selain itu, drama lain arahannya termasuklah, Kuih Goyang Syafiq, Kem Pink, Sutera Maya, Mas Kahwin, Gelora Di Hati Sara, Sebumbung dan Selagi Ada Waktu.
Terbaru, untuk mengisi slot Zehra di TV3, Jet Lee diberi tanggungjawab mengarahkan drama bersiri, Bunga-Bunga Syurga, terbitan Suhan Movie. Dibintangi Johan Ashari, Wawa Zainal dan Rozita Che Wan, drama bersiri ini bakal bersiaran setiap Jumaat, 9 malam, bermula 9 Mac ini.

Darah seni mengalir
Mengimbau sejarah penglibatannya dalam bidang produksi, anak kelahiran Johor ini mengakui tidak pernah berimpian bergelar pengarah.
Mengakui darah seni dari ayahnya yang merupakan pemain gambus terbaik di Johor mula menga�lir dalam dirinya, Jet Lee mula minat mengikuti perkembangan industri seni.
�Adik-beradik saya semuanya pandai bermain gitar. Secara tidak langsung, muzik itu mendorong saya menyertai bidang seni. Tetapi, minat saya bukan muzik, namun ia lebih kepada layar skrin.
�Saya suka tengok drama dan filem. Bila saya tengok cerita itu, saya akan bayangkan yang saya berada di kerusi pengarah. Saya akan terus berkhayal untuk menghasilkan drama dan cerita saya sendiri.
�Minat itu lahir tiba-tiba, bukannya cita-cita sejak kecil. Sejak itu, saya cuba cari jalan untuk berada dalam kalangan produksi. Untuk berjaya, kita harus berusaha peringkat demi peringkat, bermula dari bawah,� katanya yang mula bergelar krew pada 1989.
Walaupun hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Jet Lee mula mengorak langkah. Pada 1991, dia diberi kepercaya�an untuk memegang tugas sebagai jurukamera.
�Sejak itulah, saya mula mengenal konti dan peranan setiap krew terlibat. Semuanya memegang tugas penting bagi menghasilkan cerita menarik.
�Bagi saya, pengarah bukanlah satu nama besar dalam sebuah penggambaran. Ianya sama seperti krew lain kerana dalam penghasilan cerita, kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak,� katanya yang tidak pernah menjadikan kesulitan sebagai penghalang untuk ke hadapan.

Buka syarikat sendiri
Tidak mahu berada di takuk sama, Jet Lee bijak mengatur kariernya. Bergelar pengarah, tidak menghalang cita-citanya untuk bergelar penerbit.
Mengakui telah menubuhkan syarikat penerbitan sendiri, SYB Pictures, sejak setahun lalu, Jet Lee, mengakui kerja-kerja pengarahan sedikit sebanyak membantutkan usahanya mengembangkan syarikat.
�Saya memang sibuk dengan pengarahan. Jadi, tak ada masa untuk mengendalikan syarikat sendiri. Walaupun sudah setahun ditubuhkan, SYB Pictures masih belum mempunyai projek.
�Tapi, buat masa terdekat ini, biarlah saya uruskan bidang pengarahan kerana masih banyak pengalaman yang perlu ditimba,� katanya yang diberi peluang mengarahkan drama terbaru, Mak Lang Datang Kompang Bergendang, Identiti dan Cinta Belum Berlalu.

0 Responses to "Jet Lee punya 'magis' sebagai pengarah"

Leave A Comment :