Drama Opah generasi baru

Posted by admin on 7:45 PM

  • Foto

    Barisan pelakon drama bersiri Opah generasi baru.

  • Foto

    Fadilah Mansor sebagai Jenab.

DRAMA bersiri popular, Opah, kembali menemui peminat selepas dihentikan siarannya 12 tahun lalu. Bezanya, Opah musim baru mengangkat generasi kedua iaitu anak sulung Opah, Jenab, sebagai tunjang utama dan wataknya nanti lebih moden serta terbuka, bersesuaian dengan situasi masa kini.

Pengarahnya, Zamani Ibrahim, berkata walaupun berbeza, namun drama rantaian ini masih mengekalkan tema dan inti pati asalnya iaitu mengetengahkan isu kemasyarakatan serta mesej kekeluargaan yang cukup kuat, seperti yang pernah disaksikan menerusi drama asal, yang bersiaran selama hampir dua dekad itu.
�Dalam drama ini, walaupun Jenab digambarkan sebagai bidan berusia 60 tahun, tidak berpendidikan tinggi, tapi dia mempunyai wawasan dan semangat keusahawanan untuk dikongsikan bersama anggota keluarga serta penduduk kampung. Dia bersama adiknya, Alang Yassin, mengusahakan pertanian herba untuk dijual, di samping kegunaan sendiri.

�Opah musim baru ini nanti akan lebih terbuka dan moden berbanding apa yang pernah ditayangkan dua dekad lalu menerusi watak dan perwatakan serta isu yang diketengahkan,� kata Zamani ketika ditemui pada majlis ramah mesra drama Opah musim baru di Shah Alam, petang semalam.

Hadir sama memeriahkan majlis itu ialah barisan pelakon yang terdiri daripada Fadilah Mansor, Hairie Othman, Saharudin Thamby, Sharifah Nadia, Zizan Nin dan ramai lagi.

Kata Zamani, dia turut bercadang mengundang seorang pelakon asal Opah untuk membintangi drama arahannya itu.
�Kami bercadang untuk mengundang Norlia Ghani, yang membawakan watak Joyah dalam drama asal. Sekurang-kurangnya watak itu nanti dapat membangkitkan nostalgia kepada penggemar setia drama ini. Begitupun, perkara ini masih dalam perbincangan memandangkan jadual Norlia cukup padat.

�Apapun, harapan kami dia dapat juga membawakan watak itu kerana dalam drama ini, ada babak imbas kembali yang akan mengimbau kenangan penonton pada drama asal,� kata pengarah daripada Unit Drama TV, RTM ini.

Bakal memulakan penggambaran pertengahan bulan ini, lokasi yang terpilih ialah Kuala Lumpur dan Perak.

Sementara itu, pemegang watak Jenab, Fazilah, berkata bukan mudah untuk memegang watak Opah kerana karakter itu cukup ikonik dan dekat di hati penggemar setianya.

�Apabila ditawarkan untuk membawakan watak itu, tidak dinafikan saya memang teruja. Namun pada masa sama, perasaan gementar dan bimbang itu tetap wujud kerana Opah ialah watak yang cukup besar. Mujurlah saya hanya membawakan watak sebagai Jenab, iaitu generasi kedua kepada Opah.

�Bagaimanapun, saya tetap perlu membuat persiapan sebaiknya memandangkan dalam drama ini, saya dikehendaki bertutur dalam bahasa Perak, sedangkan saya orang Negeri Sembilan. Mujurlah saya pernah bertutur dalam loghat itu sebelum ini, jadi tak adalah masalah sangat,� katanya.

Drama bersiri 13 episod ini dijangka menemui penonton September depan.