Bella sukakan dunia kecantikan

Posted by admin on 7:30 PM


Kemahiran mendandan rambut dipelajari Bella ketika di Sekolah Menengah Vokasional Khas.


SEPANJANG usianya, dunia gadis ini berada dalam keadaan sunyi dan sepi. Tiada apa yang dapat didengari dan tidak pula dia berupaya untuk mengeluarkan kata-kata.

Pada penglihatannya cuma dunia indah dalam segala serba-serbi. Bertemankan kesunyian, dia mengharung kehidupan sejak dilahirkan di Perak, 29 tahun lalu.

Menurut Samsiah Saifuddin, dunianya sedari kecil hanya di rumah bertemankan adik dan abang-abangnya selain ibu serta bapanya.

Tidak banyak yang dapat dipelajarinya memandangkan keluarganya sendiri tidak dapat bertutur dengannya kerana tidak boleh dan tidak pandai menggunakan bahasa isyarat.

Justeru bagi Samsiah atau senang dengan panggilan Bella, anak kedua daripada tiga beradik ini apa yang dilakukannya hanya mengelamun dan bermain dengan kata hati.

Namun, dalam diamnya dia mempunyai cita-cita sendiri. Dia gemar pada kecantikan. Malah tangannya tidak pernah lari daripada menyelak majalah-majalah lama yang memuatkan rencana dan gambar-gambar mengenai dunia kecantikan.

Cita-citanya itu dipendam sehinggalah pada usia tujuh tahun apabila dia berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah khas di Bangsar, Kuala Lumpur.

''Di situ barulah saya belajar bagaimana untuk mengenal huruf, membaca dan mengira. Saya juga belajar bahasa isyarat. Gembiranya hati saya tidak terkira kerana dunia saya kini baru terisi dengan rakan-rakan senasib dan dapat pula berinteraksi dengan mereka.

''Barulah saya dapat gambarkan bagaimana perasaan hati saya, bagaimana bergaul dalam kehidupan seharian dan sebagainya," katanya dalam bahasa isyarat ketika ditemui di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Setelah tamat sekolah rendah, dia memasuki alam sekolah menengah dengan ditempatkan di Sekolah Menengah Vokasional Khas, juga di Bangsar selama tiga tahun.

Di situ Bella memilih bidang kecantikan iaitu dandanan rambut. Selepas tamat sesi persekolahan dia bernasib baik kerana diberi peluang untuk bekerja di sebuah salon kecantikan di Ampang, iaitu di Cleo Studio.

Kini sudah lapan tahun Bella bekerja di situ. Bakatnya semakin terserlah. Menurut pemilik Cleo Studio, Maiyizatul Najwa Ab. Mutalib, Bella bukan sahaja seorang yang setia dan boleh diharapkan, malah dia merupakan seorang yang berkebolehan dan pakar dalam bidang kecantikan dan dandanan rambut.

Hasil daripada pengalaman yang ditimba sejak bekerja di salon berkenaan Bella kini berkemahiran untuk merawat rambut, melakukan spa dan kecantikan badan, merawat wajah di samping pedicure dan manicure serta solekan wajah.

Menurut Maiyizatul Najwa lagi, Bella juga boleh menggubah pelbagai barangan hantaran dan bunga untuk tempahan pelanggan.

Apabila ditanya bagaimana dia dapat melayan kerenah pelanggan yang pelbagai cita rasa, Bella memberitahu dia memahami apa sahaja kehendak pelanggan yang datang ke salon berkenaan.

Dia juga dapat mengetahui kelebihan dandanan yang diperlukan oleh seseorang itu dengan cara melihat watak dan wajah mereka. Begitu juga dengan gaya solekan yang diperlukan.

Kebahagiaan yang ditunggu oleh Bella selama ini akhirnya tiba apabila dia bakal diijabkabulkan pada bulan ini dengan insan yang dicintainya.

Menariknya, pasangannya ialah seorang lelaki normal berusia 25 tahun yang berasal dari Melaka.

Pastinya perkahwinan Bella akan mengubat duka dan kesepiannya selama ini dan alam berumah tangga semestinya satu perjalanan hidup yang amat menarik untuk dilalui oleh kedua pasangan ini.