Zizan mahu bawa Jozan lebih jauh
![]() |
|
MELIHAT kepada kehadiran penonton ke Istana Budaya baru-baru ini bagi menonton persembahan Lawak Ke Der? ada sesuatu yang harus dibanggakan pelawak yang terlibat.
Ia bukan sahaja membuktikan mutu lawak di negara ini semakin baik tetapi juga mengangkat martabat pelawak Malaysia jauh ke depan.
Jozan merupakan antara kumpulan yang terlibat dalam persembahan dari enam malam itu yang diadakan secara dua peringkat iaitu dari 3 hingga 5 dan 10 hingga 12 Februari lalu.
Menurut Zizan dia sangat berbesra hati dengan kehadiran penonton yang dianggapnya luar biasa. Bagaimanapun dia menolak untuk mengatakan kesemua yang hadir pada persembahan di Istana Budaya itu hanya untuk menonton dia dan Johan membuat persembahan.
"Saya sangat teruja melihat jumlah penonton yang hadir pada kesemua persembahan Lawak Ke Der?
"Rasanya tidak adil untuk mengatakan kehadiran penonton pada malam itu hanyalah untuk menonton Jozan. Kerana saya pasti pelawak lain yang terlibat sama pada persembahan itu juga mempunyai peminat mereka sendiri," katanya ketika di temui pada majlis tayangan perdana Cinta Kura-Kura di Damansara, Selangor baru-baru ini.
Ditanya adakah Jozan bersedia untuk mengadakan persembahan lawak mereka sendiri tanpa melibatkan pelawak lain, menurut Zizan, jika diberikan peluang oleh pihak Istana Budaya tentunya dia bersama Johan bersedia melakukannya.
"Jika kami berdua diberikan peluang kenapa tidak mahu mencuba? Namun apa yang penting adalah sokongan dari peminat kami sendiri.
"Kami yakin jika mereka setia memberikan sokongan tidak berbelah bahagi tentunya Jozan akan terus dapat memberikan lawak yang lebih hebat pada masa hadapan,' katanya.
Mengenai pembabitannya dalam Cinta Kura-Kura, Zizan memberitahu ini merupakan kali pertama dia menyumbangkan suara dalam sesebuah filem.
Bagaimanapun menurut Zizan walaupun hanya menggunakan suaranya sahaja, namun dia tetap merasai kepayahan untuk menghidupkan watak kura-kura itu.
"Payah sebenarnya. Selalunya kita akan menggunakan mimik muka atau pergerakan badan bagi menyokong lakonan. Kali ini saya terpaksa menghidupkan sesuatu suasana itu hanya dengan suara sahaja.
"Walaupun begitu saya tetap menghargai peluang yang diberikan ini yang saya anggap sebagai percubaan kali pertama," katanya lagi.
Menceritakan kembali pengalamannya bekerja di dalam filem terbitan KRU Studios, menurut Zizan walaupun dia tidak perlu berada di lokasi, namun dia tetap perlu menghidupkan mood setiap keadaan yang melibatkan kura-kura jelmaan dirinya itu.
"Sebenarnya ada bahagian yang saya masih belum berpuas hati selepas melihat keseluruhan filem ini. Bagaimanapun saya percaya ini merupakan percubaan terbaik bagi menyumbangkan suara untuk filem yang melibatkan proses CGI secara keseluruhannya.
"Saya berharap agar penonton dapat memberikan sokongan terbaik untuk filem yang pada pendapat saya mempunyai kelainan dari filem yang pernah saya terlibat sebelum ini," katanya mengenai filem yang mula menemui penonton di pawagam pada 1 Mac depan.
Selain Zizan, pelakon lain yang turut sama menyumbangkan suara dalam filem itu ialah Usop Wilcha dan Fara Fauzana.
0 Responses to "Zizan mahu bawa Jozan lebih jauh"
Leave A Comment :