Kemuncak karier Christopher
![]() |
HANYA pada usianya 82 tahun, Christopher Plummer diberi peluang untuk merasai nikmat kejayaan. |
SELEPAS melihat kehebatan lima calon dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik semalam, hari ini Hits mahu membawa pembaca melihat pula lima aktor yang berjaya membolosi senarai pencalonan akhir Anugerah Academy Ke-84 bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Harus diakui, lima calon yang layak tahun ini antara yang cukup menarik perhatian ramai pihak apabila ia menyaksikan pertembungan antara pelakon senior dan junior.
Mereka yang berjaya menambat hati juri untuk dicalonkan tahun ini ialah Kenneth Branagh bagi filem My Week With Marilyn, Jonah Hill (Moneyball), Nick Nolte (Warrior), Christopher Plummer (Beginners) dan Max von Sydow (Extremely Loud and Incredibly Close). Daripada calon-calon ini, hanya Hill sahaja yang merupakan kali pertama dicalonkan untuk Oscar.
Jika diukur kepada pencapaiannya yang menyapu bersih sebahagian besar anugerah perfileman dan pengkritik, memang tidak mustahil untuk Plummer memenangi Oscar tahun ini. Jika ada yang terlupa, Plummer pernah dicalonkan dalam kategori ini dua tahun lalu menerusi filem The Last Station.
Dalam usianya yang sudah mencecah 82 tahun, pelakon yang pernah popular dengan watak Kapten von Trapp dalam filem The Sound of Music (1965) ini membuktikan usia bukan penghalang untuknya terus memberikan lakonan hebat sehingga diiktiraf pihak akademi.
Membawakan watak sebagai seorang bapa yang membuat pengakuan dirinya adalah seorang homoseksual selepas kematian isterinya dalam filem Beginners, lakonan Plummer sememangnya bersahaja dan meninggalkan kesan.
Lalu, tiada sebab jika malam Oscar nanti tidak akan berpihak kepada Plummer dan kemenangan itu juga akan menjadikan beliau sebagai pemenang paling tua untuk kategori berkenaan.
Dalam erti kata lain, jika Plummer berjaya menggengam Oscar untuk pertama kalinya pada malam itu nanti, ia boleh dianggap sebagai kemuncak kariernya yang sudah menjangkau lima dekad itu. Bayangkan hanya selepas 50 tahun, barulah dia berpeluang mengecapi nikmat kejayaan yang barangkali tidak pernah dibayangkan.
Namun, mengenali Oscar, mereka juga tidak pernah terlepas daripada membuat kejutan luar biasa yang bisa membuatkan ramai melopong mulut dengan keputusannya.
Kategori ini juga pernah mencipta kejutan dalam majlis penganugerahannya pada tahun 2007 di mana ketika itu Eddie Murphy yang merupakan calon utama tewas kepada calon bukan pilihan, Alan Arkin yang diiktiraf bagi filem Little Miss Sunshine.
Untuk itu, tiada yang mustahil jika tahun ini juga mengundang kejutan yang serupa. Siapa tahu, kemenangan akan berpihak kepada Sydow atau Nolte yang mana persembahan mereka juga antara yang terbaik sepanjang tahun lalu.
Sydow misalnya, gagal dicalonkan dalam mana-mana penganugerah berprestij sebelum ini seperti Golden Globe dan Screen Actors Guild tetapi mendapat tempat di Oscar. Usah sesekali memandang sebelah mata akan pelakon berusia 82 tahun ini menerusi filem Extremely Loud and Incredibly Close.
Ini kerana wataknya yang tidak berdialog tetapi memberikan bahasa tubuh dan mimik muka bagi menggambarkan penghayatannya dalam filem itu memungkinkan Sydow diangkat sebagai pemenang.
Seandainya rezeki berpihak kepada Sydow, sama seperti Plummer, dia juga bakal mencipta sejarah apabila menjadi pelakon paling tua yang memenangi kategori ini. Atau siapa tahu, mungkinkah sejarah akan berulang jika ada dua pemenang untuk kategori ini.
Nolte yang sebelum ini sudah dicalonkan dua kali untuk Oscar (kedua-duanya bagi Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem The Prince of Tides dan Affliction) juga berpotensi untuk menang tahun ini. Harus diakui, ada kalanya pelbagai sentimen akan bermain di kalangan juri Oscar dalam pemilihan pemenang.
Mungkin pihak juri merasakan sudah tiba masanya Nolte memenangi Oscar pertamanya, maka, rezeki akan menjadi milik Nolte. Tetapi, ia bukanlah bermakna lakonannya dalam Warrior tidak bagus dan berkesan.
Membawakan watak seorang bapa yang berhadapan dengan masalah alkohol dan kemudiannya mendapat peluang kedua untuk menjadi seorang insan yang lebih baik memang dibawakan dengan penuh jiwa oleh Nolte.
Oscar juga gemar mengiktiraf pelakon yang membawakan watak biografi dan jika lakonannya sebagai Laurence Olivier dalam filem My Week With Marilyn mampu memikat hati juri, maka inilah peluang Branagh untuk naik ke pentas dan menerima trofinya.
Pernah dicalonkan untuk Oscar sebanyak empat kali sebelum ini - Pelakon Lelaki, Pengarah, Dokumentari Pendek dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik, mungkinkah angka lima akan membawa tuah buat Branagh.
Apakah tiada harapan untuk Hill memenangi Oscar pertamanya? Mungkin ya, mungkin tidak. Memandangkan Hill masih baru dalam dunia lakonan, barangkali juri merasakan dia terlalu awal untuk memenangi Oscar.
Antara bakat baru yang semakin mendapat tempat, perjalanan Hill masih panjang dan siapa tahu dia mampu untuk dicalonkan bagi filem yang lebih baik daripada Moneyball selepas ini.
0 Responses to "Kemuncak karier Christopher"
Leave A Comment :