Sentuhan bergantung rona kulit

Posted by admin on 1:51 AM

MENAWAN...gaya solekan pengantin Korea mengikut cita rasa wanita Melayu.
MENAWAN...gaya solekan pengantin Korea mengikut cita rasa wanita Melayu.

SELAIN memiliki kulit yang cerah, halus serta semula jadi kemerah-merahan, solekan mata adalah ciri paling mempesona bagi wanita Korea. Ini kerana kebanyakan gadis Korea memiliki mata yang kecil dan bundar, sekali gus menyembunyikan keaslian kejelitaan mereka.

Mereka biasanya tidak memerlukan solekan tebal kerana kecantikan semula jadi sudah terserlah sejak remaja. Ini kerana mereka mementingkan penjagaan kulit daripada dalam iaitu dengan menjaga pemakanan. Apabila kesihatan terpelihara, sudah tentu kejelitaan terpancar daripada wajah walaupun tanpa mengenakan solekan tebal.

Menurut jurusolek profesional yang hanya mahu dikenali sebagai Kelrina, berpengalaman sebagai jurusolek artis serta pengantin memberi peluang kepadanya mempelajari teknik asas solekan bergantung kepada jenis dan rona kulit seseorang.

�Warna kulit adalah faktor penting dalam memilih warna bedak asas, pembayang mata dan gincu. Warna cerah akan mewujudkan solekan semula jadi manakala rona gelap pada pembayang mata dan bedak asas akan menambah kesan dramatik serta menyerlah pada tulang pipi,� katanya.


Walaupun ramai wanita Asia percaya mereka perlu memakai rona merah jambu untuk mengatasi rona kulit semula jadi, namun ini akan memberikan penampilan luar biasa, serta ketinggalan zaman. Menggunakan produk berasaskan krim tidak membuat wanita Asia kelihatan lebih kuning, tetapi mampu memberikan warna kulit sekata serta semula jadi.


Untuk warna bedak asas, wanita Korea gemar menggunakan sapuan semula jadi. Bagi mereka ketebalan solekan tidak penting. Selagi sapuan itu mampu menyembunyikan kekurangan serta cela pada wajah, ia sudah memadai.

�Apa yang saya cuba aplikasi menerusi solekan pengantin Korea adalah mengikut cita rasa wanita Melayu yang gemarkan solekan semula jadi, namun mampu menutup keseluruhan noda pada kulit. Bagi wanita berkulit cerah serta tiada masalah kulit, sapuan sekata sudah mencukupi,� katanya yang menasihati wanita supaya bijak memilih bedak asas yang dapat mengurangkan kesan kilatan selepas seharian menggunakannya.

Untuk solekan mata, penggunaan celak serta maskara memainkan peranan penting bagi menyerlahkan keindahan pancaindera, sekali gus menjadikan mata lebih besar dan galak.

�Maskara dan celak adalah dua senjata penting yang perlu ada dalam solekan pengantin terutama untuk wanita Asia. Jika pengantin Korea lebih banyak menggunakan celak untuk solekan mata kucing dalam memberikan sentuhan misteri, begitu juga dengan solekan untuk pengantin Melayu. Namun, supaya tampil semula jadi dan anggun saya tidak menggunakan celak yang terlalu tebal pada garisan atas mata sebaliknya memberikan kesempurnaan menerusi calitan pada hujung ekor mata.

�Maskara jangan dilupa kerana kedua-duanya adalah unsur yang saling berkait dan memerlukan. Penggunaan maskara akan menyudahkan solekan seperti yang diharapkan. Ini kerana kebanyakan wanita Asia tidak mempunyai bulu mata lentik dan panjang. Oleh itu sapuan maskara dengan teknik yang betul bukan saja memberi penampilan berbeza, malah menjadikan mempelai bertambah anggun,� katanya.

Jelas Kelrina, bagi menambah nilai semula jadi pada solekan pengantin, pemilihan rona pembayang mata sangat penting bagi menyerlah gaya solekan pengantin Korea. Pilih warna ungu lembut, biru laut dan digabungkan dengan
coklat untuk majlis pada waktu malam dengan

teknik sapuan pelbagai lapisan. Jika majlis diadakan pada waktu siang, pilihan rona lembut seperti merah jambu dengan gabungan perak dan keemasan menjadikan penampilan lebih sempurna.

Akhir sekali, jangan lupa pada sapuan gincu yang menjadi pelengkap kepada gaya solekan pengantin. Sebaiknya pilih ton warna yang tidak terlalu gelap seperti merah jambu atau merah cair dengan sedikit calitan pengilat bibir.

�Untuk solekan pengantin, penggunaan pengilat bibir akan memberikan kesan lebih menyerlah terutama bagi majlis berkonsepkan dalam taman. Sama ada bertudung atau sebaliknya, jangan mengabaikan sapuan pengilat bibir kerana ia akan membuatkan penampilan seperti yang anda idamkan,� katanya.



Panduan penjagaan bibir

Antara bahagian wajah yang perlu diperhatikan selepas mata ialah bibir. Bibir memiliki kulit yang sangat nipis serta mudah kehilangan lembapan, kering dan pecah.

Oleh itu, bibir memerlukan penjagaan rapi serta produk bersesuaian.

Sebaiknya sapukan salap bibir mengandungi pelindung matahari sebelum memakai gincu atau menggunakan gincu mengandungi SPF ketika melakukan aktiviti di luar rumah. Bagi wanita yang menjaga bibir sebaiknya, kulit bibir akan berwarna kemerahan, lebih lembut dan lembap. Kesannya, bibir lebih sihat, menarik dan seksi.


Pilih gincu warna sesuai

Dalam memilih warna gincu, apa yang perlu diberikan perhatian ialah bentuk dan garis bibir yang biasanya mengikut susunan gigi serta tulang rahang. Bentuk dan garis bibir menentukan warna gincu yang sesuai dipakai. Berikut jenis gincu yang sesuai mengikut bentuk bibir:

Bibir bergaris lembut dengan bentuk mendatar

Pilih gincu jenis berkilat dengan warna merah, merah jambu atau ungu.


Bibir bergaris keras dengan bentuk cembung

Pilih gincu jenis krim atau matte dengan warna coklat seperti merah muda coklat atau krim.