Debaran bakal pengantin

Posted by admin on 1:50 AM

  • Foto

  • Foto

    ANA Rafali (kanan) bersama Ahmad Aznaim Abdullah.

Lisa dilarang jumpa Yusry sebelum diijab kabul

TANYALAH kepada mana-mana wanita, tidak ada saat yang paling indah, selain menantikan ketibaan hari diri bakal bergelar isteri. Begitulah juga perasaan Lisa Surihani apabila saat yang dinantikan itu akan menjelma tidak lama lagi.
Malam ini di sebuah hotel di pinggir Putrajaya, Lisa bakal diijabkabulkan dengan Yusry Abdul Halim atau Yusry KRU selepas setahun menjalin hubungan menerusi BBM (Blackberry Messenger)
Sewaktu Lisa maklumkan perkara itu kepada Yusry, dia terkejut kerana tak tahu pantang larang itu wujud. Pun begitu, kami ada juga berjumpa terutama apabila ia ada kaitan dengan urusan perkahwinan. - Lisa, Pelakon
Ketika dihubungi untuk bertanyakan persiapan menjelang hari bersejarahnya itu, Lisa berkata, semuanya lancar di bawah pengawasan ibunya.

"Pihak Lisa akan menguruskan persiapan pernikahan, manakala sebelah Yusry pula untuk majlis resepsi kami di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad nanti. Setakat ini alhamdulillah, semuanya lancar.

"Cuma kami sedang menyiapkan dulang hantaran untuk majlis itu nanti. Lisa akan menyerahkan sembilan dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak Yusry," kata Lisa.

Untuk majlis itu, Lisa menggunakan khidmat pereka, Cosry untuk mereka barangan hantaran serta busana yang akan digayakan untuk kedua-dua majlis nanti.
"Pihak Yusry pula gubahan hantaran akan dilakukan oleh isteri Edry," katanya.
Walaupun Lisa dibesarkan dengan cara moden, itu tidak bermakna dia mengetepikan adat resam Melayu. Beberapa hari sebelum hari bahagianya, Lisa dilarang bertemu bakal suaminya.

"Emak Lisa pesan tidak bertemu Yusry beberapa hari sebelum diijabkabulkan. Walaupun rindu, Lisa tak kisah untuk mematuhi adat atau pantang larang itu.

"Sewaktu Lisa maklumkan perkara itu kepada Yusry, dia terkejut kerana tak tahu pantang larang itu wujud. Pun begitu, kami ada juga berjumpa terutama apabila ia ada kaitan dengan urusan perkahwinan. Tapi kami tak boleh pergi atau balik berdua-duaan seperti biasa," ujarnya.

Lisa dan Yusry akan kemudian akan bercuti ke Eropah.

Bapa jadi jurunikah

BUKAN saja Lisa yang menghitung hari menantikan saat bergelar isteri, tetapi perasaan itu turut dikongsi bersama penyanyi yang cukup terkenal menerusi lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali. Bakal disatukan dengan pengurus peribadinya, Ahmad Aznaim Abdullah, pemilik nama penuh Ana Nur Hidayah Mohd Raffali ini memilih tarikh 25 Februari iaitu Sabtu ini sebagai hari pernikahan mereka.

"Persiapan majlis sudah 90 peratus selesai. Selebihnya, semua itu akan diuruskan keluarga kami. Mereka menyuruh kami berehat sementara menunggu ketibaan hari bersejarah itu," katanya.

Ditanya apakah perasaannya bakal bergelar isteri, sambil ketawa Ana berkata, perasaan itu biasa saja.

"Kadang kala ada terlintas tak sangka kami akan berkahwin selepas sekian lama berkenalan. Tapi itulah yang dinamakan jodoh. Nak kata berdebar tu, tak adalah sangat, cuma bila ada orang yang mengingatkan saya dan tolong saya mengira ketibaan hari pernikahan saya , itulah yang membuatkan saya lagi berdebar," katanya.

Mengikut perancangan, majlis itu akan dimulakan dengan pertunangan pada jam 10.30 pagi. Sejam kemudian, akad nikah akan dilangsungkan dan disempurnakan bapa Ana iaitu, Mohd Raffali Mohd Nor.

Majlis ini dijangka berlangsung di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati.
Untuk majlis itu, Ana akan menggayakan busana pengantin rekaan Ezuwan Ismail dan Safura Azali, manakala kasutnya pula direka pelakon yang semakin meningkat naik, Neelofa.

Konsep hantaran adalah rona perak dan putih. Ana menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki.
Ditanya destinasi bulan madu yang menjadi pilihan, Ana berkata, dia dan Naim memilih konsep Cuti-Cuti Malaysia. Ana juga tidak akan bersanding pada hari perkahwinannya nanti.