Gadis Chennai pengagum batik

Posted by admin on 1:55 AM


REKAAN fesyen anak patung Barbie oleh Ranjitha pernah mendapat pujian pensyarahnya di universiti.


WANITA cantik itu sudah sedia menanti kedatangan kru Jurnal di depan pintu kedai pakaiannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

�Selamat datang. Apa khabar? Silakan masuk,� tutur T. Ranjitha Badradri dalam bahasa Melayu.

Wanita itu yang berasal dari Chennai, Tamil Nadu, India anggun dalam persalinan tradisional salwar kameez.

Ranjitha, berusia 30-an, merupakan pereka fesyen pakaian fusion eksklusif yang mengetengahkan rekaan dan corak tradisional India.

�Saya sebenarnya sifar dalam bahasa Melayu walaupun sudah 12 tahun menetap di sini.

�Saya rasa menyesal pula kerana tidak mahir bertutur dalam bahasa rasmi negara Malaysia itu,� katanya yang datang ke Kuala Lumpur pada tahun 2000 untuk bekerja sebagai pereka grafik multimedia di sebuah syarikat kesihatan Ayurvedik di Bukit Jalil.

Chennai

Namun disebabkan beliau meminati bidang fesyen bahkan pernah menjadi model peragaan pakaian kanak-kanak bersama kakaknya, Ranjitha memutuskan untuk mengikuti pengajian diploma lanjutan dalam bidang itu di Kolej Raffles La Salle di Kuala Lumpur pada tahun 2006.

Pada tahun 2008, beliau mengambil pula Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Limkokwing di Cyberjaya.

�Walaupun saya ada rakan-rakan Melayu di kedua-dua pusat pengajian tinggi itu, mereka lebih suka menggunakan bahasa Inggeris apabila bersembang. Jadi, agak sukar untuk saya menguasai bahasa Melayu,� tutur Ranjitha.

Menyusuri susur galur keluarga Ranjitha, beliau bukanlah orang sembarangan.

Berasal daripada keluarga berpengaruh di Chennai, datuknya, T. Sunder Rao Naidu merupakan Datuk Bandar pertama Chennai selepas India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.

�Dahulu Chennai dikenali sebagai Madras,� beritahu Ranjitha.

Keluarganya memiliki pawagam Sun iaitu panggung wayang pertama di bandar raya yang menempatkan industri perfileman Tamil atau lebih dikenali sebagai Kollywood itu. Chennai kini mempunyai populasi sembilan juta orang.

Bagaimanapun, pawagam Sun telah dirobohkan pada tahun 1990-an.

�Kemasukan teknologi baharu perfileman menyebabkan pawagam itu ketinggalan. Datuk pula tidak berminat untuk menyambung bisnes itu kerana ia dijalankan sebagai satu hobi semata-mata.

�Setelah dirobohkan, tapak panggung wayang itu didirikan dewan persidangan yang turut menempatkan ruang pejabat komersial.

Batik


RANJITHA meminati bidang fesyen sejak kecil lagi.


�Kompleks itu masih diuruskan oleh keluarga saya,� katanya yang meminati filem Tamil lakonan Rajnikanth dan Kamal Hassan.

Dunia peragaan ternyata memberi banyak inspirasi kepada Ranjitha lebih-lebih lagi beliau pernah dinobatkan Ratu Simply South pada awal 1990-an.

Semasa di Limkokwing pula, rekaan Ranjitha untuk anak patung Barbie mendapat pujian pensyarah dan pelajar.

�Namun, karya saya itu tiada dalam simpanan saya kerana ia menjadi milik universiti itu bagi dijadikan rujukan pelajar baharu,� ujar Ranjitha yang menjadikan pereka fesyen terkenal India, Mahesh Malholtra sebagai idolanya.

Memiliki butik sendiri adalah impian Ranjitha sejak kecil. Kini butik Ambere miliknya menyediakan koleksi dan rekaan pakaian yang eksklusif.

Sejak dibuka dua tahun lalu, Ambere sudah memiliki pelanggan tetap termasuk sekurang-kurangnya 30 pelanggan Melayu.

�Butik ini dikenali menerusi cerita dari mulut ke mulut,� cerita Ranjitha yang terkejut dengan kegilaan masyarakat majmuk di negara ini terhadap fabrik batik.

Tambah beliau: �Saya tertarik dengan keunikan batik dan mempunyai idea untuk menggabungkan rekaan tradisional India dengan fabrik batik yang berwarna-warni.

�Saya sedang dalam perancangan untuk melakukan fusion dalam fabrik batik dengan rekaan tradisional. Saya harap dapat memperagakannya di seluruh dunia kelak,� katanya yang menyukai Little India di Brickfields, Kuala Lumpur.

�Setiap kali melawat Little India itu ia mengingatkan saya kepada Chennai yang juga sama sibuk seperti pusat perniagaan di sini.

�Cuma di Little India suasananya lebih berwarna-warni dan turut dikunjungi oleh orang Cina dan Melayu,� tambahnya.

Koleksi pakaian eksklusif Ambere bermula daripada harga RM70 untuk pakaian lelaki seperti kurtha dan jippa. Koleksi wanita iaitu sari, sut punjabi, chuditar dan salwar kameez pula ditawarkan pada harga di antara RM400 hingga RM3,000.