Elizabeth amal TRX
AKSI DALAMAN...dengan pakaian ungu muda, Elizabeth begitu sempurna dengan gayanya di depan kamera.
DENGAN penampilannya yang mengagumkan, tiada yang menghairankan jika Elizabeth Banks menjadi buah mulut dalam industri perfileman dunia dengan pelbagai watak dibawanya.
Namun, jangan salah faham. Untuk mendapatkan bentuk tubuh begitu, Elizabeth terpaksa bekerja keras mengekalkan apa yang ada padanya.
Aktres berusia 37 tahun itu menceritakan bagaimana dia menjalani disiplin senaman yang ketat dalam majalah Women's Health edisi Mac ini.
Sesuai dengan statusnya, Elizabeth mendapat ruang itu bersama paparan wajahnya sebagai penghias kulit depan majalah berkenaan.
Menyelak sebahagian daripada singlet biru menghias aksi genitnya, Elizabeth berbangga menunjukkan perutnya yang menawan.
Dia juga mengenakan jeans lusuh dan koyak bagi menayang bentuk fizikalnya yang kurus.
Tanpa mekap tebal, Elizabeth berjaya menggoda peminat dengan kulit yang menarik dan mata biru bercahaya memandang tepat ke kamera.
Satu lagi gambar mengiringi liputan mengenai Elizabeth di majalah itu memaparkan dia berbaju ungu lembut yang mendedahkan sebahagian besar belakangnya.
Melalui temubual dengan majalah itu, Elizabeth berkata, rahsia bentuk tubuh unggulnya itu terletak pada tempoh diluangkan menjalani latihan fizikal.
"Saya menjalani latihan dinamakan TRX yang dicipta pasukan komando elit Tentera Laut AS.
"Pada asasnya, peralatan senaman ini mudah dan anda mampu melakukannya di mana-mana dan pada bila-bila masa saja kerana ia menggunakan berat badan anda sendiri," katanya.
Menurut Elizabeth, alat itu mudah dipasang di tempat yang diingini.
"Saya memasang satu unit di gimnasium rumah, tetapi jika mahu, anda boleh memasangnya pada batang pokok.
"Ia juga mudah dibawa bersama ke mana saja anda pergi," katanya.
Mengenai pemilihan makanan, Elizabeth berkata, dia mengelak daripada hidangan tertentu, termasuk kek cawan, keju dan pesto.
Kata Elizabeth, wajahnya pula sering membawa tuah apabila diberikan watak tertentu dalam filem.
"Saya bersyukur dengan kerjaya ini, tetapi ada sedikit rasa kurang puas yang mendorong saya terus berusaha," katanya.
Elizabeth mendedahkan, dia sentiasa mahukan cabaran dan terbuka dengan apa saja yang bakal dihadapi.
Sebelum terkenal, Elizabeth berkata, dia pernah menjadi model untuk seketika tetapi meninggalkan bidang itu tidak lama kemudian kerana tidak menggembirakannya.
"Saya pernah menjadi model sesekali dan hampir semuanya untuk katalog Petite Sophisticate yang tidak begitu glamor.
"Namun, saya mengaku hasilnya banyak membantu saya menjelaskan bil bulanan dan membawa saya ke Miami pada musim sejuk," katanya.
Elizabeth bakal menemui peminatnya melalui filem The Hunger Games yang dihasilkan sebagai memperingati Effie Trinket.
Ketika ini, Elizabeth boleh ditonton dalam filem thriller Man On A Ledge, selain terbabit dalam filem What To Expect When You're Expecting yang ditayangkan Mei nanti.
Baru-baru ini, aktres itu menceritakan pengalamannya berjuang untuk menjadi seorang ibu bersama suaminya, Max Handelman.
Kata Elizabeth, rahimnya bermasalah kerana janin gagal terhasil secara semula jadi.
Justeru, katanya, mereka meminta seorang wanita lain untuk menjadi ibu tumpang.
"Ia pengalaman yang menakjubkan apabila anda meminta seseorang melakukan tugas amat penting dalam hidup anda," katanya.
Mengenai ibu tumpang itu, Elizabeth berkata, dia kagum dengan sifat wanita terbabit.
"Kami masih berhubung dengannya dan dia seperti ibu saudara saya," katanya.
Anak pertama Elizabeth - Handelman, Felix, lahir pada Mac tahun lalu.
Walaupun belum berusia setahun, Elizabeth nampaknya tidak sabar dan mula merancang masa depan Felix lebih awal.
Katanya, dia sudah ada pelan khusus untuk Felix apabila anaknya itu berusia 15 tahun.
"Saya merancang membawa Felix terjun dari udara ketika dia berusia 15 tahun," katanya.
Menurut Elizabeth, dia mahu mengajar anaknya supaya berani.
Kenyataan itu memang tidak mengejutkan apabila Elizabeth sendiri pernah hidup dengan dunia lasak ketika zaman remajanya.
Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia bermain bola keranjang dan membaik pulih kereta sebelum tiba zaman dewasanya.
"Ayah memang mengajar kami begitu," katanya.
0 Responses to "Elizabeth amal TRX"
Leave A Comment :