Dr. Vasu tolak jawatan pensyarah
![]() |
Dr. Vasu Appu |
SEBAIK kaki melangkah ke medan perbicaraan, bermulalah perjuangan seorang individu bergelar pegawai pendakwa (PO) yang menjalankan tugas-tugas menegakkan keadilan tanpa mengambil kira siapa mangsa mahupun pelakunya.
Tugas sebagai PO Mahkamah bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana ia menuntut sikap profesionalisme serta kredibiliti dan integriti yang tinggi selain turut mengutamakan ketelitian di dalam mengemukakan hasil siasatan.
Sekali melakukan kesilapan walaupun kecil, kesannya terhadap proses pendakwaan sangat besar sehingga boleh menimbulkan keraguan dan menggugat tahap konsistensi sesuatu kes yang akhirnya membawa kepada kegagalan.
Justeru, kebijaksanaan dan pengetahuan yang luas amat diperlukan di dalam mengendalikan pendakwaan sesuatu kes terutamanya melibatkan jenayah berat seperti pembunuhan, pengedaran dadah dan rompakan.
Kali ini, Pegawai Pentadbiran Mahkamah Sesyen/ Majistret Ampang Jaya, Asisten Supritendan Dr. Vasu Appu, 52, dipilih sebagai calon Gaya Polis kerana pengalaman beliau dalam bidang ini.
Beliau bukan calang-calang PO Mahkamah kerana peratus kemenangan yang dicapainya sepanjang mengendalikan pendakwaan kes setiap tahun adalah tinggi iaitu sebanyak 98 peratus.
Kebolehan beliau mengendalikan pendakwaan kes di mahkamah tidak dinafikan lagi apabila hanya pernah tewas kurang dua kes dalam setahun.
"Saya malu sekiranya tewas dalam sesebuah perbicaraan kerana ia melibatkan soal maruah diri dan juga mangsa yang terlibat. Apabila tidak dapat memenangi sesuatu kes, saya akan rasa bersalah sehingga pernah sukar untuk tidur," katanya.
Begitulah perasaan yang diluahkan oleh Dr. Vasu apabila berhadapan dengan situasi beliau tidak dapat membantu mangsa di dalam memenangi kes yang dibicarakan sehingga menyebabkan orang kena tuduh (OKT) terlepas daripada hukuman.
Justeru, apabila mengendalikan pendakwaan, beliau akan memastikan saksi-saksi dan bukti-bukti kukuh yang dikemukakan adalah konsisten dan tidak mempunyai keraguan.
"Kepuasan dalam kerjaya sebagai pegawai pendakwa dapat dirasai hanya apabila melihat mangsa jenayah gembira setelah berjaya dalam perbicaraan," ujarnya.
Sehubungan itu, sebelum mengemukakan pendakwaan kes, beliau terlebih dahulu akan membuat persiapan rapi selain turut menjalankan kajian bagi memastikan keadilan dapat dilakukan.
Menurutnya, sesuatu kes yang gagal dimenangi biasanya disebabkan oleh faktor keterangan saksi yang tidak konsisten selain kelemahan dari segi pengecaman bahan bukti.
"Walaupun dalam siasatan terdapat bukti-bukti kukuh yang menunjukkan OKT telah melakukan kesalahan yang dinyatakan namun, sekiranya keterangan saksi tidak menyamai atau tidak konsisten dengan bukti yang dikemukakan, peguambela akan menimbulkan persoalan terhadap kes tersebut.
"Biasanya, saksi mengalami masalah tidak ingat disebabkan jurang masa kejadian dan masa perbicaraan yang terlalu lama atau menghadapi tekanan semasa menjawab soalan dari peguambela sehingga menyebabkan wujudnya percanggahan dalam jawapan yang dikemukakan," ujarnya yang akan mewakili Malaysia dalam sukan olahraga kategori veteran di India pada 22 Februari ini.
Menurut Dr. Vasu, walaupun terpaksa berhadapan cabaran apabila mengendalikan pendakwaan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang membela keadilan.
Katanya, kesungguhan beliau dalam melaksanakan tugas sebagai pegawai pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) disebabkan minat yang mendalam serta semangat untuk menaburkan bakti dan sumbangan kepada masyarakat.
Beliau sanggup melepaskan tawaran jawatan sebagai pensyarah undang-undang daripada universiti swasta walaupun gaji yang ditawarkan amat lumayan.
Katanya, sejak sekolah menengah lagi, beliau menanam tekad untuk mencapai cita-cita sebagai seorang pegawai polis.
"Pada mulanya saya tidak mengetahui peranan PDRM, namun setelah diperkenalkan oleh seorang pegawai polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) melalui ceramah tentang cara-cara pencegahan jenayah dan tugas polis, barulah saya tahu betapa besarnya sumbangan mereka.
"Sejak itu, minat untuk menjadi polis semakin mendalam. Sebaik menamatkan pelajaran di sekolah menengah, saya terus memohon untuk memasuki pasukan polis," ujarnya yang pernah menumpaskan 'Geng Mamak' kurang 24 jam dalam kes pecah gudang di Shah Alam pada 1991 yang melibatkan nilai rampasan bernilai RM350,000.
0 Responses to "Dr. Vasu tolak jawatan pensyarah"
Leave A Comment :