Bukan cinta monyet

Posted by admin on 2:47 AM

Muka depan B*POP hari ini.
Muka depan B*POP hari ini.
Izara Aishah mengakui sudah mempunyai teman lelaki istimewa yang dikenali sejak tingkatan dua

MEMILIH untuk tidak berselindung dalam soal peribadi saat namanya semakin mekar dalam dunia seni umpama satu percaturan dan risiko terbesar yang dilakukan Izara Aishah. Namun pengakuan pemenang tempat kedua pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 ini mengenai kamar hatinya tidak sesekali disesali.
Tiada apa yang perlu disembunyikan lagi mengenai status gadis jelita berusia 19 tahun yang juga finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. Hatinya memang sudah dimiliki dan percintaan mereka sudah mula bertaut sejak di sekolah menengah lagi. cinta mereka memang serius bukan seperti mana cinta remaja zaman seklah yang lebih dipanggil �cinta monyet�. Ini berikutan buah hatinya itu sudah dikenali enam tahun lalu.
Mula mengenali ketika di tingkatan dua, Izara dan arjuna hatinya secara rasmi bercinta di tingkatan lima. Soal jatuh saham atau �coverline� mengenai hakikat sebenar tidak pernah terdetik di hati Izara kerana dia percaya pada rezeki ditentukan Tuhan. Namun, Izara belum bersedia untuk mendedahkan gerangan nama dan kerjaya buah hatinya itu.

Jadi tidak pelik, sekalipun kanvas seni Izara pernah tercemar dek kontroversi �manja� seperti dikaitkan dengan gandingan pelakon lelaki yang berlakon bersamanya, kenyataan dirinya sudah berpunya mengatasi segala spekulasi mahupun gosip.

Gara-gara berlakon drama Soffiya yang pernah disiarkan di TV3 sebelum ini timbul gosip mengaitkannya dengan Fizo Omar yang turut berlakon drama berkenaan. Tidak sesekali melatah, Izara melihat gosip itu tidak lebih daripada usikan.

�Tiada apa yang perlu diperjelaskan. Hubungan Izara dan Fizo tak lebih daripada rakan artis. Lagipun Izara sudah berpunya dan dia hanyalah orang biasa. Kami kenal pun melalui keluarga. Setakat ini masih terlalu awal untuk membicarakan soal kahwin,� katanya membuka bicara.
Tambah Izara yang menangguh pengajiannya dalam bidang Seni Persembahan di Sunway College selama setahun, peminat sekarang juga sudah bijak menilai dan berfikiran terbuka sekali pun artis yang diminati mereka sedang bercinta atau bergelar suami atau isteri orang.

�Skeptikal atau mentaliti bahawa artis itu sudah berpunya atau berkahwin dan akan menyebabkan saham mereka jatuh serta sukar mendapat kepercayaan pihak produksi hanyalah stereotaip yang bersifat sementara. Pada akhirnya semuanya berpihak kepada rezeki dan bakat,� kata gadis cantik persis pelakon Bollywood itu.

Seboleh-bolehnya Izara tidak mahu terlalu dicop cuba menjaja kisah peribadi. Mujur juga setakat ini, Izara mendapat kepercayaan daripada kekasih yang sedang membiasakan diri untuk mengikut corak dan rentak dunia artis yang penuh dengan perkara tidak terduga.

�Cukuplah orang tahu Izara sudah ada teman istimewa dan setia padanya. Selebihnya biarlah ia menjadi privasi Izara. Kami akan berjumpa jika masing-masing tak sibuk dengan komitmen. Kami akan menghabiskan masa bersama-sama untuk menonton wayang atau makan bersama.

�Alhamdulillah, kompromi dan tolak ansur menjadi rahsia hubungan yang terjalin sekian lama. Kalau bergaduh manja itu biasalah. Tetapi kami akan selesaikan dengan elok. Setiap pertelingkahan kecil yang wujud akan diuruskan dengan tidak kelam kabut, secara matang dan senantiasa berfikiran panjang,� katanya yang seboleh-bolehnya mahu mengikut siri jelajah ABPBH 2011 di setiap lokasi tetapi bergantung kepada jadual berlakon.

Dalam tempoh kembara seninya bermula hingga saat ini, nama Izara jarang menerima tempias kontroversi berbanding rakan seperjuangannya, Neelofa yang juga juara Dewi Remaja 2009/2010. Malah, hingga saat ini juga pacuan kerjaya mereka sering dibandingkan.

Ternyata nama dan rezeki Neelofa lebih awal menyerlah di dalam liga seni. Bagaimanapun, Izara tidak melihat itu sebagai ancaman. Tiada sekelumit perasaan cemburu pun yang menyelinap di hati pelakon drama Vanilla Coklat di TV3 itu terhadap populariti pantas yang diraih Neelofa.

�Baik Izara mahupun Neelofa, masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri. Yang penting, kami saling menyokong antara satu sama lain. Malah Lofa yang memperkenal dan mengesyorkan nama saya kepada Kak Erma Fatima untuk berlakon berlakon drama Kasih Najihah.

�Izara sedar kontroversi itu ada kalanya membantu dan sebaliknya. Tapi Izara lebih suka jika bakat ini yang dinilai terlebih dulu berbanding cerita kontroversi atau gosip. Izara tak terdesak untuk mencipta kontroversi sebagai batu loncatan untuk dikenali.

�Alhamdulillah, setakat ini, sudah ada yang mengenali siapa itu Izara. Cukup orang nampak bakat dan produk Izara di TV dan insya-Allah di layar perak pada masa mendatang. Itu sudah membuatkan Izara rasa dihargai. Izara juga masih dalam peringkat belajar dan menimba pengalaman,� katanya yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan nasihat dalam aspek lakonan.


Terharu jadi finalis ABPBH 2011

MINAT Izara Aishah berlakon berputik sejak dia kecil, namun hasrat itu dilarang keras ibunya. Pada usia 12 tahun, Izara pernah mendapat bimbingan Fauziah Nawi dalam pementasan teater Tok Rimau. Dengan bantuan dan dorongan bapa saudaranya, gadis cantik persis pelakon Bollywood ini menyertai Dewi Remaja ketika belajar di tingkatan lima.

�Selepas Dewi Remaja, saya mengikuti sesi uji bakat. Saya berpeluang berlakon drama Kasih Najihah, diikuti drama Hantu Gigi. Seterusnya, syarikat Radius One memanggil saya untuk diuji bakat menerusi drama Keranamu Laila yang disiarkan TV3. Buat kali pertamanya saya diberi peranan utama dalam drama Keranamu Laila. Kemudian saya berpeluang berlakon Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih dan Jejaka J. Dalam tempoh permulaan juga saya bergelar bakat naungan KRU Studios selama setahun dan berpeluang berlakon telefilem Cikaro.

�Seterusnya saya berlakon drama Soffiya dan menerusi drama ini juga watak antagonis, Fiona yang dipegang mula dibenci ramai. Sebelum drama Vanilla Coklat, saya sempat berlakon drama Pusing Beraya dan Di Sini Bermula. Alhamdulillah rezeki berlakon semakin murah kebelakangan ini,� katanya yang petah bercakap dalam dialek Utara kerana ibunya berasal dari Pulau Pinang.

Mengenai namanya yang tersenarai sebagai finalis Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2011, selain Neelofa, Izara turut bersaing dengan Najwa Latif, Nur Fathia dan Tasha Shila.

�Paling seronok pencalonan untuk kategori ini didominasi rakan seperjuangan. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang tak lupa mengundi nama saya. Saya sudah mengagak Neelofa antara calon untuk kategori ini dan terbukti tepat ramalan saya,� katanya.

Kalau mahu dibandingkan empat calon lain dalam kategori itu juga, nama Izara agak ketinggalan jauh di belakang kerana jarang menerima tempias kontroversi. Kalau ada pun, hanya gosip mengaitkannya dengan Fizo dan juga kononnya membenci bapa kandungnya.

�Memang kontroversi terjadi tanpa kita undang. Saya sendiri tidak mampu mengawalnya. Namun selagi boleh menjauhkan atau terpalit dengan kontroversi, saya selesa dikenali dengan bakat. Saya tak mahu dituduh menumpang kontroversi yang mungkin datang sebagai batu loncatan untuk popular,� katanya.

ABPBH 2011 bakal berlangsung pada 8 April ini di Arena of Stars, Genting Highlands menyaksikan 17 kategori dipertandingkan termasuk kategori baru diperkenalkan bersempena edisi Jubli Perak ke-25 iaitu Anugerah Seri Perak.

Anugerah Seri Perak menyaksikan calon pemenang Bintang Paling Popular musim dulu bersaing bermula dari kejayaan Aishah pada 1990 hinggalah Shaheizy Sam, tahun lalu. ABPBH 2011 turut dipadatkan kerjasama dan tajaan antaranya seperti Rafflesia The Pearl Centre, Lux, Edaran Tan Chong Motor (M) Sdn Bhd, Holiday Villa Hotel & Suites dan Sinarmas Travel & Tours.


PROFIL

Nama sebenar: Izara Aishah Hisham
Tarikh lahir: 28 September 1992
Usia: 19 tahun
Bintang: Libra
Asal: Bakar Batu, Johor Bahru
Keluarga: Sulung daripada tiga beradik
Pencapaian: Tempat kedua Dewi Remaja 2009/2010
Drama TV: Kasih Najiha Hantu Gigi, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Soffiya, Pusing Beraya, Soffiya dan Vanila Coklat.