Warna-warni Asia Tenggara

Posted by admin on 7:49 PM


ASEAN Musical Extravaganza berjaya menyatukan budaya, muzik dan bahasa serantau di atas satu pentas.


LAMBANG Sari, Istana Budaya menjadi saksi kepada penyatuan sepuluh seni budaya Asia Tenggara dalam acara ASEAN Musical Extravaganza.

Warna-warni lukisan budaya, busana dan bahasa warga ASEAN menyatu dalam muzik dan tari atas pentas buat pertama kalinya di Kuala Lumpur.

Acara hasil buah fikiran Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu menemukan wakil-wakil penggiat seni dari negara-negara yang menyertai Persidangan Menteri-Menteri Penerangan ASEAN (AMRI) ke-11, minggu lalu.

Pentas ASEAN Musical Extravaganza dibuka selama dua malam berturut-turut. Persembahan malam pertama dikhususkan buat orang ramai, manakala hari kedua dikhususkan untuk orang kenamaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Persembahan selama 45 minit dimulakan dengan pengenalan negara yang mengambil bahagian termasuk, Malaysia, Brunei, Kemboja, Singapura, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina dan Vietnam.

Pentas pembuka dihias cantik seakan-akan balai rong seri yang menjadi latar kepada tarian pembukaan menyambut kunjungan tetamu luar negara. Sebagai pemanas pentas, kumpulan Senandung Darussalam dari Brunei mempersembahkan tarian samrah dan kompang.

Seterusnya King Music Band dari Kemboja menyampaikan persembahan lagu-lagu Dancing At Angkor dan Phnom Penh dalam rentak segar. Lagu-lagu disampaikan dalam bahasa Khmer.

Sejurus penyanyi Malaysia, Suki melontarkan lagu dalam bahada Mandarin, Ca Zhuang, mahasiswa dari Liga Tari Mahasiswa Universitas Indonesia Krida Budaya mempersembahkan tarian tradisional bertajuk Sabalah.

Persembahan Sabalah yang disampaikan oleh tujuh orang penari wanita dengan busana unik menceritakan mengenai sejenis cendawan yang banyak tumbuh di sebuah kawasan di Sumatera, Indonesia.

Selain Suki, Malaysia menampilkan nama-nama berbilang keturunan termasuklah Jamal Abdillah yang menyampaikan Samrah Mentari dan Muthukumaran dengan lagu Ravanan Veera.

Muzik kontemporari

Pentas tidak hanya diperkaya dengan ritma tradisional, bahkan muzik-muzik kontemporari turut menguasai gegendang telinga.

Barisan penyanyi-penyanyi popular Laos, menyampaikan lagu kontemporari, Ban Mea Hao dan Ban Kird Hao dalam bahasa tempatan.

Antara persembahan lain yang mencuri tumpuan pada malam itu termasuklah persembahan lima elemen muzik dari Singapura yang menyampaikan lagu-lagu Ode To Joy, Joget, Fast Forward dan Shanti.

Penonton pasti tercuit dengan persembahan tarian U Shwe Yoe dan Daw Moe yang dibawa dari Myanmar. Tarian yang banyak dipersembahkan dalam majlis keraian itu menggabungkan persembahan muzik tradisional dengan sketsa lucu tanpa suara.

Thailand yang popular dengan kekayaan persembahan kebudayaannya kali ini tampil dengan hidangan lebih kontemporari. Lagu Saifon yang dihasilkan oleh Raja Bhumibol Adulyadej dipersembahkan di samping tarian Penanam Padi dan Hemaraj.


NAJIB (dua dari kiri) menjadi tetamu kehormat meluangkan masa menyaksikan persembahan di malam penutup.


Vietnam memperkenalkan kepada rakan-rakan ASEAN dengan sebuah lagu yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai lagu budaya spiritual berjudul Vao Chua. Turut menarik perhatian adalah lagu Beo Dat May Troi yang disampaikan oleh artis-artis The Vietnam National Academy.

Diterbangkan jauh dari pulau-pulau berselerak, Filipina memperkenalkan sejenis gitar bertali dua, hegalong oleh kumpulan Diwa De Leon. Kumpulan itu menyampaikan persembahan bertenaga dalam lagu Moonrise dan alunan instrumental menerusi Stromy Night.

Tirai pentas dilabuhkan seiring tamatnya AMRI yang bakal diadakan di Myanmar pada 2014 dengan persembahan tarian Joget Malaysia dan nyanyian lagu Under ASEAN Skies oleh kesemua peserta.

Lambaian bendera-bendera negara ASEAN di pentas Istana Budaya menjadi lambang penyatuan dan pertukaran kesenian serantau di bawah sebuah jambatan budaya.