Perkahwinan di taman atas bangunan

Posted by admin on 7:37 PM


Persandingan gemilang di Kampung Pengantin.


BAKAL pengantin yang mahukan kelainan pada majlis perkahwinan mereka pasti akan teruja dengan konsep perkahwinan dalam taman di atas bangunan.

Idea ini sudah tentunya mencetuskan rasa ingin tahu yang mendalam bagi pasangan yang sedang tercari-cari konsep dan lokasi persandingan impian.

Bayangkan majlis yang berlangsung nun di atas puncak bangunan tetapi ia bagaikan dalam taman dengan teres terbuka berlatar belakangkan cahaya neon bandar raya Kuala Lumpur.

Majlis yang pasti tidak mudah dilupakan bukan saja oleh mempelai bahkan tetamu yang hadir itu cuba direalisasikan oleh Kampung Pengantin, pengendali majlis perkahwinan terkenal di Kuala Lumpur.

Berkonsepkan hanging garden atau taman tergantung yang 'dibina' atas bangunan rumah kedai kini menjadi lokasi terbaru Kampung Pengantin.

Lokasinya juga tidak jauh dari pusat bandar iaitu di Jalan Genting Klang, yang mudah dikunjungi tetamu dari dalam dan luar Kuala Lumpur.

Menariknya, di tempat baru itu tetamu diberi dua suasana berbeza ketika menjamu selera iaitu dalam dewan dan teres terbuka.

Menurut pemiliknya, Syed Nahar Syed Hassan itu adalah satu pilihan untuk bakal pengantin yang mahukan suasana berbeza dan cantik.

"Bayangkan, sambil tetamu menjamu selera, pada masa sama mereka boleh bersantai di teres terbuka bersama rakan-rakan.

"Di bahagian ini juga diletakkan deretan gerai yang mempunyai sedikit persamaan dengan keadaan di hotel.

"Antara menu yang sesuai diletak di ruang teres ini seperti cendol, barbeque dan hidangan pencuci mulut seperti bubur dan sebagainya.

"Bukan itu sahaja, dengan hiasan kayu lattice yang dicat putih dan pohon-pohon hijau memang melambangkan kesucian dan keindahan sesuatu majlis perkahwinan.

"Ini pasti memberikan rasa teruja buat pengantin dan tetamu," jelas Syed Nahar ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Walaupun lokasi perkahwinan dalam taman atas bangunan itu baru dimulakan pada Februari lalu, namun sudah lima majlis berlangsung di situ.

"Sambutan memang menggalakkan. Ramai bakal pengantin teruja mahu mengadakan majlis kenduri di sini.

"Antara kemudahan lain yang terdapat di lokasi baru Kampung Pengantin ini ialah surau, bilik menunggu untuk orang kenamaan dan bilik persalinan pengantin.

"Akses ke tingkat ini juga mudah kerana ada tiga lif dan satu eskalator disediakan serta kemudahan letak kereta yang banyak dan percuma.

"Tetamu minimum yang diterima untuk mengadakan majlis di sini adalah 600 orang. Bukan sekadar lokasi, kami juga menyediakan khidmat katering dan sesi merasa makanan sebelum pengantin membuat keputusan," ujarnya.

Syed Nahar berkata, sebelum ini Kampung Pengantin beroperasi di bangunan atas sebuah tanah lapang di kawasan Setapak, Kuala Lumpur.

Menurutnya, lokasi lama itu masih beroperasi dan menjadi pilihan ibu bapa pengantin yang mahukan kemudahan sepenuhnya buat para tetamu.

"Selain di taman tergantung ini dan di Kampung Pengantin di Setapak, kami mempunyai satu lagi lokasi baru iaitu di Dataran Merdeka.

"Uniknya di Dataran Merdeka ini, lokasinya berada di bawah tanah dan boleh memuatkan sehingga 2,500 tetamu pada satu masa.

"Dewan perkahwinan di Dataran Merdeka juga memudahkan tetamu kerana ia terletak bersebelahan dengan tempat letak kereta.

"Di sini tetamu yang tiba hanya perlu letak kenderaan mereka dan terus berjalan masuk ke dalam dewan untuk menikmati jamuan," ujarnya.

Majlis rai tetamu

Kata Syed Nahar lagi, idea untuk mewujudkan tempat perkahwinan berbeza untuk bakal pengantin bukanlah sesuatu yang boleh dirancang kerana ia bergantung kepada keadaan dan kehendak pengantin pada masa itu.

"Dari masa ke masa trend boleh berubah. Siapa yang mahukan kelainan terutama orang muda di bandar boleh memilih dua lokasi baru ini. Jika masih mahukan cara yang konvensional boleh memilih di lokasi lama," katanya.

Syed Nahar tidak menafikan bahawa suatu ketika dulu majlis perkahwinan yang jauh dari kawasan tempat tinggal pengantin atau ibu bapa pengantin dikatakan sukar untuk mendapat kunjungan tetamu.

Tapi senario tersebut nyata berubah sama sekali atas beberapa faktor.

"Tidak kira di mana saja majlis berlangsung, bakal pengantin kini sudah sedia memasukkan bajet pengangkutan seperti bas sewa untuk tetamu. Jadi ia satu kemudahan dan tidak membebankan tetamu.

" Bukan itu sahaja, majlis kenduri yang diadakan jauh sedikit dari kediaman pengantin akan menjadi satu tarikh yang dinantikan tetamu kerana ia ibarat satu percutian sambil menikmati makanan di majlis kenduri.

"Jadi isu tetamu tidak hadir kerana lokasi majlis perkahwinan yang jauh memang bukanlah satu masalah besar lagi," jelasnya yang turut menerima tempahan daripada pelanggan sejauh Putrajaya, Shah Alam, Puchong dan beberapa lagi lokasi di sekitar Kuala Lumpur.

Semua orang akan berkahwin

Berpengalaman lebih berpuluh tahun dalam bidang itu, Syed Nahar tidak bimbang tentang masa depan perniagaan dalam industri perkahwinan.

"Bagi saya industri perkahwinan akan terus mendapat perhatian kerana semua orang akan berkahwin.

"Memang sedia diketahui mengadakan majlis kenduri amat meletihkan. Proses sebelum majlis saja memakan masa berbulan, jadi bayangkan kepenatan yang dilalui oleh pihak yang terlibat.

"Jadi dengan adanya perkhidmatan yang kami sediakan ini ia memudahkan bakal pengantin dan ahli keluarga. Yang paling utama tetamu yang hadir turut sama merasa keselesaan tersebut.

"Bahkan berdasarkan pemerhatian saya, bakal pengantin dan ibu bapa biasanya memang mempunyai peruntukkan khas untuk majlis perkahwinan.

"Kami di Kampung Pengantin hanya mahu memastikan impian mereka direalisasikan melalui perkhidmatan yang kami tawarkan," ujarnya.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kampung Pengantin boleh hubungi 016-2518035 (Syed Nahar) 016-5558035 (Fathin Mazlina)

Penajaan Gerbang Cinta

Kampung Pengantin juga merupakan salah satu penaja Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia dari musim pertama lagi.

Bagi Syed Nahar, tahun ini peraduan yang memasuki musim ketiga amat beruntung kerana mendapat kerjasama dan tajaan dari Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPWKM).

"Ini menambah semangat kami untuk memberikan tajaan yang terbaik buat pemenang.

"Apa yang pasti Gerbang Cinta Musim Ke-3 ini memang meriah dan pemenang akan mendapat hadiah yang memang amat lumayan," katanya.