Wira terjun kita layak ke London

Posted by admin on 6:11 PM


DARI kanan, Bryan dan Huang berdiri megah di atas podium bersama penerjun dari China dan Rusia.


GANDINGAN wira terjun negara, Huang Qiang dan Bryan Nickson Lomas yang memungut pingat gangsa pada Piala Dunia FINA ke-18 di London semalam telah mengesahkan tempat mereka untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Aksi konsisten yang dipamerkan oleh dua jaguh negara itu sejak pusingan awal acara 3 meter papan anjal seirama berjaya mengesahkan satu lagi tiket berharga buat Malaysia untuk beraksi di pentas Olimpik 2012.

Mereka mengutip 432.09 mata, sekali gus memastikan pingat gangsa dalam genggaman mereka pada kejohanan acara yang berlangsung di Pusat Akuatik London itu.

Ternyata, terjunan Huang, 30, yang pertama kali bergandingan dengan Bryan masih berbisa meskipun ini merupakan penampilan kompetitif pertama mereka sejak 2006.

Dalam aksi akhir semalam, pasangan juara dunia dari China, Qin Kai-Lui Yutong terus mendominasi acara tersebut dengan kutipan 445.71 mata.

Pasangan Rusia, Evgeny Kuznetsov dan Illya Zakharov yang hanya ketinggalan 5.88 mata di belakang penerjun China, membawa pulang pingat perak.

Beberapa kejutan juga berlaku apabila peserta Jerman yang sebelum ini berada di kedudukan ketiga dalam aksi kelayakan, gagal mempamer persembahan cemerlang.

Pasangan Jerman tersebut, Patrick Hausding dan Stephan Feck yang sebelum ini berada di tempat ketiga dengan 411.96 mata, menjunam ke tempat kelapan dengan hanya 402.27 mata pada aksi final.

Kejayaan tersebut meletakkan Malaysia dalam kelompok lima teratas meskipun berdasarkan ranking pada pusingan awal, Bryan-Huang sebenarnya sudah layak.

Bukan itu sahaja, pengesahan �tiket� tersebut menjadikan ia kelayakan sulung Malaysia dalam acara seirama pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.